suria

Kerajaan naik taraf kehidupan di PPR, bangunkan banyak projek baharu

Peruntukan di bawah Belanjawan 2023 meningkatkan taraf hidup warga PPR.

Menerusi peruntukan di bawah Belanjawan 2023, pelbagai langkah diperkenalkan untuk meningkatkan kebolehdiaman di PPR.

KEMENTERIAN Pembangunan Kerajaan Tempatan diberi peruntukan sebanyak RM50 juta bagi memastikan persekitaran yang selamat di Projek Perumahan Rakyat (PPR) dengan keutamaan mengganti lif-lif usang.

Ini merupakan salah satu daripada pelbagai langkah untuk meningkatkan kebolehdiaman di PPR, seperti yang diumumkan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan 2023 pada Februari lalu.

PPR telah dilaksanakan selama beberapa dekad untuk menyediakan pemilikan rumah kepada rakyat berpendapatan rendah.

Sehubungan itu, Kerajaan Perpaduan kini menaik taraf kehidupan di PPR.

Peruntukan untuk kerja penyelenggaraan termasuk:

1. Had sebut perolehan harga untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan lif dan perolehan dinaikkan kepada RM1.2 juta berbanding RM500,000.

2. RM200 juta untuk penyelenggaraan perumahan awam kos rendah di Kuala Lumpur.

3. RM44.4 juta untuk Tabung Penyelenggaraan Perumahan Malaysia (TPPM).

4. RM46 juta untuk penyelenggaraan perumahan awam kos rendah negeri.

5. RM25 juta untuk kerja menaik taraf dan penyelenggaraan Kampung Baru Cina.

Selain menaik taraf dan menyelenggara kemudahan, usaha lain untuk meningkatkan kebolehdiaman PPR termasuk:

1. Akses internet percuma di 56 PPR terpilih.

2. RM15 juta disediakan bagi menyokong usaha badan bukan kerajaan (NGO) mengadakan kelas pemulihan untuk kanak-kanak yang masih tercicir dalam pelajaran.

3. RM30 juta untuk mempergiat aktiviti ekonomi rakyat, seperti perusahaan makanan menggunakan platform CloudKitchens di bawah seliaan Yayasan Hasanah.

4. RM1.3 juta untuk pembangunan komuniti sifar sisa dalam kalangan komuniti PPR terpilih, sebagai Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) setempat.

Projek PPR baharu dan jaminan SJKP

Kerajaan memperuntukkan sebanyak RM367 juta bagi membangunkan beberapa projek PPR baharu untuk memberi manfaat kepada 12,400 bakal penduduk baharu.

Antaranya program Rumah Mesra Rakyat di bawah Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) melibatkan pembinaan 4,250 unit rumah dengan peruntukan RM358 juta.

Syarikat Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan untuk membantu peminjam yang tidak mempunyai pendapatan tetap.

Untuk tahun 2023, SJKP menyediakan jaminan pembiayaan sehingga RM5 bilion bagi nilai pinjaman yang memberi manfaat kepada 20,000 peminjam yang memerlukan.

Bagi menggalakkan lebih banyak pemilikan rumah, kerajaan akan terus mengecualikan duti setem untuk pemilik rumah kali pertama iaitu pengecualian penuh duti setem untuk unit bernilai RM500,000 dan ke bawah, dan pengecualian 75 peratus untuk unit berharga lebih RM500,000 hingga RM1 juta.

Tanggungjawab sosial korporat

Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) turut menyumbang kepada pelbagai program untuk kesejahteraan rakyat dan negara.

Ini termasuk sumbangan sosial korporat sehingga RM250 juta bagi membantu golongan rakyat termiskin.

ThinkCity, anak syarikat Khazanah Nasional Bhd, bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam projek mengindahkan lokasi tumpuan di ibu kota, bagi meningkatkan potensi aset sejarah dan budaya.

Bagi mengekalkan warisan negara, Khazanah Nasional akan menerajui pembentukan Tabung Warisan Negara untuk mendapatkan RM700 juta bagi pemulihan bangunan-bangunan bersejarah.

Ini termasuk usaha pembangunan semula Bangunan Sultan Abdul Samad dan Carcosa Seri Negara, dengan kerjasama ThinkCity.

Bantuan untuk semua

Di bawah Belanjawan 2023, kerajaan memperkenalkan pelbagai langkah untuk membantu semua golongan B40 sama ada di bandar atau luar bandar.

Mereka yang layak dan belum memohon bantuan kerajaan digalakkan berbuat demikian, kerana proses permohonan telah dipermudahkan dan mesra pengguna, di mana faedah akan disalurkan dengan segera kepada pemohon yang berjaya.

Layari belanjawan.mof.gov.my/manfaat untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif lain untuk rakyat di bawah Belanjawan 2023.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain