suria

Hanya sebuah kubur di Selat Klang diterangi cahaya lilin, kumpulan lelaki berkerumun waktu Maghrib timbul tanda tanya

Rakaman memaparkan sebuah kubur yang dipasang lilin meraih perhatian netizen di media sosial.

PENEMUAN lilin di kawasan kubur biasanya dikaitkan dengan aktiviti syirik seperti pemujaan dan ilmu hitam.

Terbaharu, seorang wanita turut berkongsi video memaparkan sebuah kubur di Selat Klang, Selangor yang diterangi dengan cahaya lilin.

"Kejadian di Kubur Selat Klang. Ada satu kubur yang dipasang lilin. Motif? Cikgu pun tak tahu.

"Tapi malam ni niat nak pergi tengok apa yang diletakkan. Orang tak kelihatan pun. Tapi lilin tu menyala.

"Kalau ada orang, mungkin boleh pergi sergah. Siapa la punya kerja pasang lilin kat kubur ni?" tulis pemilik TikTok Cikgulatt82.

Menjengah ke ruangan komen, netizen turut meluahkan rasa seram dan tertanya-tanya motif sebenar di sebalik perbuatan aneh itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Tujuh hari ’teman’ arwah makcik tepi kubur, risau mayat jadi mangsa khurafat... Pemuda pernah nampak ‘balan-balan’ terbang!

Beberapa penduduk setempat turut tampil di ruangan komen dan mendakwa kejadian itu bukanlah satu perkara baharu.

"Beberapa hari lepas, kawan ayah dah cabut lilin tu. Eh dipasangnya lagi.

"Sebelum ni banyak kali lalu memang ada satu kubur ni lilin. Malam tadi dengan kelmarin lalu tak ada nampak, tak tahu mungkin terpadam sebab angin.

"Saya ada lalu sebelum Maghrib, ada empat ke lima orang lelaki dok kerumun kubur tu dan pasang lilin. Saya pun pelik mereka tengah buat ritual apa pun tak tahu.

"Baru Jumaat lepas lalu. Tunjuk kat suami. Suami marah sebab kenapa tegur. Balik tu terus mandi dan solat," tulis beberapa individu.

Menurut lama web e-Sumber Maklumat Fatwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), segala bentuk khurafat dan azimat sama ada yang berbentuk amalan atau kepercayaan boleh membawa kepada syirik dan bertentangan dengan akidah dan syariah Islam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain