suria

Pemilik jam tangan Swatch tema LGBT boleh dipenjara, denda sehingga RM20,000 - KDN

KDN menyerbu 11 kedai Swatch di Lembah Klang pada 13 dan 14 Mei.

SESIAPA yang memiliki produk Swatch mengandungi unsur lesbian, gay, biseksual, transgender 'queer' dan 'plus' boleh dipenjara sehingga tiga tahun, denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kementerian Dalam Negeri (KDN) berkata kerajaan mengharamkan semua produk Swatch yang mengandungi elemen LGBTQ+ termasuk jam tangan, kotak, pembalut dan semua bahan lain yang berkaitan.

Larangan itu diwartakan pada 10 Ogos dan ia selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 7 Akta Mesin Cetak dan Penerbitan.

"Kerajaan Malaysia komited untuk menghentikan penyebaran unsur-unsur yang boleh memudaratkan moral, serta kepentingan orang ramai dan negara, dalam masyarakat," kata KDN.

Menurut KDN produk Swatch terbabit diharamkan kerana ia memudaratkan moral, serta kepentingan awam dan negara dengan mempromosi, menyokong dan menormalisasikan gerakan LGBTQ+, yang tidak diterima oleh masyarakat Malaysia.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar jurusan dakwah terkejut video TikTok isu LGBT boleh hit, ramai rasa nak berubah... reaksi berjurai air mata paling tak sangka!

“KDN ingin mengulangi komitmennya untuk menjaga keselamatan dan keharmonian awam dengan memantau dan mengawal penerbitan bagi membendung penyebaran unsur, fahaman dan gerakan yang bertentangan dengan sosiobudaya tempatan,” katanya,

Untuk rekod, KDN menyerbu 11 kedai Swatch di Lembah Klang pada 13 dan 14 Mei, dan merampas semua jam tangan Pride Collection jenama itu.

Beberapa kedai di Alor Setar, Kota Bharu, Johor Bahru, Kuching dan Kuala Terengganu turut diserbu tetapi dilepaskan dengan amaran.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Swatch Nick Hayek Jr. menjelaskan koleksi mereka menggunakan warna pelangi yang membawa mesej keamanan, kasih sayang dan tidak membahayakan sesiapa pun.

Swatch Malaysia juga telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk mencabar rampasan 172 jam tangannya. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain