suria

Dalang jual bintang dan lencana darjah kebesaran dikenal pasti - Ketua Polis Pahang

Bintang dan darjah kebesaran dijual secara berleluasa di e-dagang.

DALANG yang menjual bintang dan lencana darjah kebesaran Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran baru-baru ini telah dikenal pasti.

Pun begitu, tiada tangkapan dilakukan setakat ini.

Berkata mengenainya, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman memaklumkan, pihaknya masih lagi menjalankan siasatan sebelum tindakan selanjutnya diambil.

"Setakat ini, siasatan masih dijalankan dan pada masa sama kita sudah mengenal pasti dalang terbabit.

"Sebenarnya penjualan darjah kebesaran itu berlangsung selama seminggu di platform itu sebelum ia ditutup disebabkan tular di media sosial," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelepasan Petugas Bantuan Sumber Manusia (BSM) Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) ke -15 di Dataran Kawad, Kompleks PDRM Alor Akar, di Kuantan, Pahang.

Pada 11 Julai lalu, polis menyiasat kegiatan penjualan bintang dan lencana darjah kebesaran negeri Pahang melalui platform e-dagang tanpa kebenaran.

Kegiatan penjualan itu dikesan selepas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pekan menerima laporan.

Siasatan awal mendapati satu set darjah kebesaran itu dijual pada harga melebihi RM1,000.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 3(1)(c) Enakmen Lambang, Gelaran atau Anugerah (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) Pahang 2017.

Yahaya dalam kenyataan sebelum ini berkata, semua pihak tidak dibenarkan memasang atau memaparkan lambang atau emblem darjah kebesaran Pahang pada mana-mana bahagian kenderaan mereka tanpa kebenaran.

"Mana-mana individu yang disabitkan bagi kedua-dua kesalahan berkenaan boleh dikenakan hukuman denda tidak kurang daripada RM250,000 dan tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada satu tahun dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain