HATI siapa yang tidak pilu apabila melihat anak sendiri dipukul dan dimarah oleh individu lain. Tambahan pula, diri sendiri tidak pernah menjentik mahupun memarahi anak walau sekali. Maka tidak hairanlah apabila seorang wanita meraung selepas melihat rakaman kamera litar tertutup (CCTV) anaknya didera oleh seorang pengasuh ketika berada di taska di Kota Kinabalu, Sabah. Menerusi video tular di aplikasi WhatsApp sejak rabu lalu, sekumpulan kanak-kanak berada di sebuah taska bersama dua individu dewasa. Salah seorang individu terbabit dilihat sedang mengagihkan makanan namun bertindak menendang, menarik rambut, menolak dan memukul kepala seorang kanak-kanak dengan menggunakan buku di taska berkenaan. Rakaman berdurasi 2 minit 12 saat itu kemudian dipercayai ditonton oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan menyebabkan kedua-duanya berang dengan perbuatan individu terbabit. Malah perbuatan memukul kanak-kanak tersebut dilakukan secara berulang kali menyebabkan ibu kanak-kanak itu tidak dapat menahan kesedihannya sehingga menyebut 'kasihan anak saya' sambil meraung. Ibu kanak-kanak terbabit dipercayai merakam video berkenaan untuk dijadikan bukti dalam laporan polis mereka. Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Superintenden Kalsom Idris ketika dihubungi mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian itu. "Ada, nanti akan dikongsikan kepada media," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube