suria

Akhirnya! Lelaki ‘stalk’ jurufoto wanita selama 8 tahun akan jadi individu pertama didakwa bawah Akta Anti-Menghendap

Di bawah akta ini, individu yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum sehingga 3 tahun, denda, atau kedua-duanya sekali. -Gambar hiasan/The Star

SEORANG lelaki berusia 37 tahun akan menjadi individu pertama yang bakal didakwa di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan kerana melakukan jenayah mengintai (stalking).

Lelaki tersebut sebelum ini didakwa melakukan gangguan secara dalam talian terhadap seorang jurufoto wanita popular selama lapan tahun termasuk menghantar gambar lucah selain mengekori mangsa ke United Kingdom.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki itu akan didakwa mengikut Seksyen 507A Kanun Keseksaan yang baharu dipinda.

"Dia akan dibawa ke Mahkamah Shah Alam dalam dua hari ini (esok atau lusa) untuk menghadapi pertuduhan," katanya ketika dihubungi pada Rabu (9 Ogos).

ARTIKEL BERKAITAN: Jurufoto hilang sabar 8 tahun diganggu lelaki gila seks, gigih ikut sampai UK! Fahmi Fadzil janji ambil tindakan - “Dia tak patut wujud dalam masyarakat”

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki suka hendap, ganggu jurufoto wanita selama 8 tahun dirawat bawah Jabatan Neurologi

Di bawah Seksyen 507A Kanun Keseksaan baharu, mengintai ditakrifkan sebagai tindakan gangguan berulang yang bertujuan atau mungkin menyebabkan kesusahan, kecemasan atau ketakutan kepada seseorang mengenai keselamatannya, boleh disabitkan melakukan kesalahan menghendap.

Mana-mana individu yang didapati bersalah berdepan hukuman penjara maksimum sehingga tiga tahun, denda, atau kedua-duanya sekali.

Media sebelum ini melaporkan bahawa polis telah menerima laporan mengenai gangguan seksual secara dalam talian yang dihadapi oleh jurufoto wanita itu pada 2018.

Jurufoto tersebut sebelum ini tampil membuat pendedahan terbuka di laman sosialnya mengenai siri gangguan yang dialaminya sejak 2016, bagi meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pelaku jenayah terbabit.

Tidak sekadar menghantar mesej-mesej gangguan berbaur lucah, lelaki yang mengganggu wanita tersebut turut menjejakinya sehingga ke United Kingdom sehingga pernah diberkas polis di negara berkenaan. -THESTAR

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain