suria

Selepas disenarai ‘orang dikehendaki’, SPRM percaya 2 individu termasuk menantu Muhyiddin lari ke luar negara

SPRM percaya dua lelaki termasuk menantu Muhyiddin melarikan diri ke luar negara.     

DUA lelaki termasuk menantu kepada bekas perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dipercayai melarikan diri ke luar negara, kata Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya percaya kedua-dua mereka melarikan diri selepas dimasukkan dalam senarai 'wanted list' (orang dikehendaki) agensi itu.

Menurutnya, pihak SPRM beberapa kali cuba menghubungi kedua-dua individu tersebut namun tidak berjaya.

"SPRM mengeluarkan kenyataan selepas banyak kali cuba berhubung dengan kedua-dua mereka untuk bekerjasama namun mereka gagal hadir ke pejabat SPRM untuk membantu siasatan.

"Kedua-dua mereka ini juga diperlukan untuk tindakan (pendakwaan) mahkamah. Mereka disenaraikan dalam wanted list (orang dikehendaki) apabila gagal hadir," katanya pada sidang media, Rabu.

Azam berkata, kedua-dua individu ini melarikan diri ke luar negara selepas dimasukkan dalam 'wanted list' (orang dikehendaki) oleh SPRM.

Dilaporkan, kedua-dua individu ini dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan isu rasuah dan penyelewengan berhubung projek berkaitan pendaftaran, pengambilan serta penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.

SPRM dalam kenyataan sebelum ini berkata, pihaknya sedang mengesan dan cuba menghubungi dua lelaki yang juga seorang ahli perniagaan dan peguam, secara terus dan menerusi peguam masing-masing.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain