PENEMUAN mayat seorang lelaki yang berlumuran darah di dalam sebuah teksi di Seberang Takir, Kuala Terengganu pada tengah malam Khamis menggemparkan penduduk setempat. Menerusi video serta gambar yang tular di media sosial, kelihatan orang ramai mengerumuni lokasi kejadian sehingga jalan di kawasan berkenaan mengalami kesesakan. Malah menerusi perkongsian berkenaan juga, turut kelihatan mangsa yang terbujur kaku di tempat duduk belakang teksi dan seorang lelaki dipercayai suspek pembunuhan sedang mencangkung di tepi jalan. Perkongsian yang dibuat menerusi akaun Facebook, Aliff Zuaimi II sehingga kini meraih hampir 200 shares. Dalam hantaran berkenaan, individu tersebut juga menceritakan secara ringkas mengenai kronologi kejadian. "Seorang saksi ronda-ronda motor malam tadi, pahtu (selepas itu) ada la ternampak teksi huyung-hayang lalu jalan sehala dekat Klinik Seberang Takir. "Nak dijadikan cerita, teksi tu terlanggar sebuah kereta bertentangan, saksi pun kejarlah teksi tersebut. Buka pintu, tengok seorang lelaki disyaki suspek berlumuran darah dan mendapati ada sebilah pisau. Orang ramai mengerumuni lokasi kejadian. "Seorang saksi bertanya kenapa melawan arus? Suspek berkata baru lepas bunuh orang, orang yang dibunuh ada di tempat duduk belakang. "Terdapat banyak kesan seperti ditoreh bahagian kepala. Pelbagai spekulasi yang timbul. Salam takziah buat keluarga mangsa," demikian tulis individu berkenaan. ARTIKEL BERKAITAN: Tikam, toreh perut, bakar kekasih hamil... Lelaki didakwa bunuh Sementara itu menurut laporan The Star, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din berkata pihak polis dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan pada pukul 10.56 malam. Abdul Rahim menambah, mangsa yang merupakan seorang lelaki tempatan berusia 51 tahun dipercayai pemilik teksi berkenaan, ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk belakang dengan beberapa kecederaan di badan. "Sepasukan polis yang dikerahkan ke tempat kejadian menemui sebilah pisau di atas pelapik kaki tempat duduk pemandu. Doktor mengesahkan mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya. Abdul Rahim berkata, polis menahan seorang lelaki berusia 29 tahun bagi membantu siasatan. "Mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube