SEORANG wanita berusia 27 tahun dan rakan serumahnya didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mendera dan mengabaikan seorang budak lelaki berusia tujuh tahun. Ibu kandung kanak-kanak itu, Nurul Asyiqin Mohamad Zahir dan warga Singapura Awiin Chua, 30, dihadapkan ke mahkamah pada pagi Rabu di mana pertuduhan dibacakan terhadap mereka. Nurul Asyiqin didakwa mendera anaknya yang diletakkan di bawah jagaannya sehingga mengakibatkan kecederaan fizikal di sebuah rumah di Jalan Wau Kikik 7, Bandar Layangkasa, Pasir Gudang di sini sejak 1 Julai hingga 9 Ogos lalu. Dia juga didakwa mengabaikan kanak-kanak itu di tempat dan tarikh yang sama. Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 31 (1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan. Chua, seorang juruteknik kilang di Singapura, juga menghadapi dua pertuduhan yang sama. Kedua-dua wanita itu berkata mereka memahami pertuduhan itu dan mengaku tidak bersalah. Tangkap layar video kes itu yang tular di media sosial. Timbalan Pendakwa Raya Nur Diyana Zubir menawarkan jaminan RM30,000 setiap seorang dengan seorang penjamin, dengan syarat tertuduh melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa dan saksi pendakwaan. “(Nurul Asyiqin) telah membawa anaknya yang berada di bawah jagaan ibu bapanya di Pokok Sena, Kedah ke Johor Bahru. “Dia gagal menjaga anak kandungnya sehingga menyebabkannya cedera,” kata Nur Diyana. ARTIKEL BERKAITAN: Badan budak lelaki ‘berlubang’, melepuh dipercayai didera ibu dan housemate pengkid... Menangis dikantoikan jiran-jiran! Peguam Abdul Rahim Ali yang mewakili kedua-dua tertuduh meminta jumlah jaminan yang lebih rendah kerana Nurul Asyiqin kehilangan pekerjaannya dua bulan lalu dan kini menganggur. Dia juga tidak memiliki pasport. Beliau berkata Chua telah tinggal di alamat yang sama dengan Nurul Asyiqin selama lebih dua tahun. Hakim Sesyen Fatimah Zahari membenarkan Nurul Asyiqin diikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin dan untuk Chua RM20,000 dengan seorang penjamin warga Malaysia. Mereka berdua diarah melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa. Chua menangis ketika kedua-dua tertuduh dibawa keluar dari mahkamah ke lokap. Kes itu mendapat perhatian umum apabila video jiran menyelamatkan mangsa daripada tertuduh tular di media sosial. Menerusi video tular itu, netizen turut mengecam ibu kanak-kanak itu yang tinggal serumah dengan wanita berperwatakan lelaki atau tomboi. - The Star. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube