suria

[V] Sekeluarga tahu rider selalu di Elmina, tak terfikir jadi mangsa nahas tapi kakak tak sedap hati

KEMATIAN tragis seorang rider dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie dekat Elmina, Shah Alam cukup memberi impak besar buat ahli keluarganya.

Menurut adik perempuannya, Norhikmah Muhamad Salleh, 26, dia dan keluarga bertolak jam 10.15 malam Khamis, dari Sungai Petani, Kedah, menuju ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Selangor, bagi proses pengecaman mayat abangnya, Muhamad Hafiz Muhamad Salleh, 32.

Ketika dihubungi mStar, Norhikmah berkata mereka kini berada di hotel yang disediakan untuk keluarga mangsa sambil menunggu tindakan selanjutnya.

rider rentung

Hafiz merupakan salah seorang mangsa yang terlibat dalam nahas pesawat di Lebuhraya Guthrie dekat Elmina.

"Setakat pagi ni cuma ibu, ayah dan abang nombor tiga saja pergi ke hospital bagi menjalankan ujian DNA untuk mengesahkan mayat tu abang saya. Kami kini tunggu keputusan ujian dan bedah siasat.

"Sekiranya mayat tu abang saya, kami akan ke hospital dan IPD untuk uruskan pengebumian abang. Kami minta untuk dibawa pulang dekat kampung mak ayah dan kebumi di tanah perkuburan di Sungai Petani.

"Kami belum tengok arwah lagi tapi dimaklumkan jasad dalam keadaan sempurna. Anggota badan semua 'cukup' walaupun menyesak jiwa kematiannya," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Merangkak sebut Allah sambil minta tolong, saksi terkilan, tak boleh tidur gagal selamatkan rider

ARTIKEL BERKAITAN: Identiti rider terbakar dikenal pasti, rupanya orang Sidam di Kedah... Polis datang rumah ibu bawa khabar duka lepas Maghrib

Jelas Norhikmah, berita pemergian abangnya itu hanya diketahui selepas keluarganya menerima maklumat daripada pihak berkuasa, sejurus solat Maghrib.

"Sebelum tu memang kami ada tengok berita mengenai pesawat terhempas tu tapi macam tak sangka salah seorang mangsa tu daripada keluarga saya. Abang saya selalu buat penghantaran dekat kawasan tu.

"Masa tu kami semua belum tahu lagi yang abang saya terlibat sebelum polis datang rumah. Sebelum polis sampai tu, kakak saya cakap dia dah tak sedap hati sebab tengok video tu. Dia cakap dekat situ ada rider (terlibat)," imbasnya lagi.

Gambar kenangan Norhikmah dan Hafiz ketika meluangkan masa bersama.

Pengesahan mengenai identiti mangsa dilakukan ketika kediaman mereka dikunjungi pihak polis.

Norhikmah sekeluarga mengakui terkejut dengan khabar duka menimpa abangnya itu, namun reda dengan ketentuan Illahi.

"Selepas polis datang kediaman sahkan butiran dengan bacakan nama penuh dengan alamat rumah, mereka maklumkan insiden kapal terbang jatuh melibatkan rider tu memang abang saya. Mak dan ayah saya terduduk (tergamam) masa tu.

"Polis minta kami hubungi Ibu Pejabat Daerah Klang untuk sahkan perkara itu. Tapi suami yang uruskan semua urusan sebab masa tu kami semua dah speechless tak mampu buat apa-apa.

"Memandangkan kami agak jauh dari Kedah, saya hubungi saudara mara lain tapi mereka pun sama baru tahu mengenai kematian abang malam tu. Jadi saya buka Facebook abang dan cari kenalan (rider) lain. Mereka pun terkejut lepas saya maklumkan sebab belum tahu sebelum tu fasal abang saya," katanya lagi.

Ada yang cakap abang sempat laungkan 'Allahuakbar'.

NORHIKMAH

ADIK MANGSA

Perkhabaran duka itu turut memberi impak yang besar kepada Norhikmah memandangkan dirinya sedang sarat hamil.

"Perasaan saya sebagai adik masa dapat berita tu memang sedih. Mak ayah pun dah tak boleh buat apa-apa. Saya tengok kakak pun dia sedih sebab kenduri kahwin dia 26 ni tapi abang sulung tak sempat tengok.

"Semua sangat terkejut tambah-tambah pula saya tengah sarat mengandung lapan bulan. Emosi saya memang sangat 'down' lepas tahu tu. Masing-masing tak boleh nak kawal perasaan.

"Jiran-jiran datang malam tu dan mak ayah pun nasihatkan saya supaya jangan menangis sebab abang 'pergi' hari Khamis malam Jumaat. Semoga syahid kematian dia sebab arwah tengah mencari rezeki masa kemalangan. Tapi bila melibatkan keluarga, macam mana pun tetap akan rasa 'sesak' dekat dada tu," ujarnya.

Dalam pada itu, Norhikmah mengambil kesempatan ini menyatakan harapannya agar orang ramai tidak menyebarkan video menunjukkan keadaan abangnya semasa terbakar.

Ahli keluarga Norhikmah bersama arwah Apit (duduk, kanan).

"Bila tengok video-video orang kongsikan terutama dekat TikTok tu fasal keadaan rider memang sebak. Mak ada pesan juga, kalau boleh... sesiapa yang ada gambar abang tak blur (dikaburkan), minta sangat jangan post (sebarkan).

"Sebabnya mak ayah saya sangat-sangat tak sanggup nak tengok keadaan tragis. Iyalah tak tergamak kan tengok anak sendiri. Kami sendiri pun sebagai adik-adik tak boleh nak tengok abang sulung dalam keadaan macam tu.

"Apa-apa pun saya bersyukur apabila ada ramai yang mendoakan abang saya. Ada yang cakap abang sempat laungkan 'Allahuakbar'," katanya menutupi kisah.

Seramai 10 individu lain termasuk Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) negeri Pahang, Datuk Seri Johari Harun, maut dalam nahas melibatkan sebuah pesawat kecil terhempas di Elmina, dekat Denai Alam, Shah Alam pada Khamis petang.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan pada sidang media bersama Menteri Pengangkutan Anthony Loke di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) memaklumkan mayat kesemua mangsa pesawat ditemui dalam keadaan tidak sempurna dan berkecai.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain