suria

Peniaga jawab kenapa jual telur dadar RM13! Dah buat ‘survey’ sampai luar negara sebelum perkenal Thailand Omelette

Dania dikecam kerana menjual telur dadar pada harga RM13.

USAHAWAN makanan terkenal, Dania Sedek menerima kecaman daripada segelintir netizen selepas dia memperkenalkan menu Thailand Omelette atau telur dadar pada harga RM13.

Selain aplikasi TikTok, ramai netizen di laman Twitter turut kecoh membahaskan isu itu yang mana mereka menganggap harga tersebut agak keterlaluan dan tidak masuk akal.

"Mungkin telur tu datang dari ayam yang dipelihara keturunannya. Ayam bangsawan jenis menetas dalam aircond, saya cuma husnuzon.

DANIA2

Kedai Dania popular dengan menu tomyam dan daging harimau menangis.

"Kalau sehari dapat jual 100 hidangan telur ni, dah dapat RM1,300. Kak, awak memberi inspirasi kepada saya untuk mulakan perniagaan telur dadar. Terima kasih.

"Hampir setiap hari aku masak telur macam ni. Tak tahu pula boleh letak harga macam ni," tulis beberapa netizen secara sinis.

Menjawab kritikan itu, Dania yang mengusahakan kedai berasaskan makanan Thailand di Ipoh, Perak berkata, harga tersebut sebenarnya bersesuaian dengan kepelbagaian bahan yang digunakan olehnya.

Ada yang komen buruk, doa bukan-bukan, label saya sebagai kapitalis dan Yahudi.

DANIA SEDEK

"Sebelum letak harga RM13, saya dah survey. Bukan sekadar di Malaysia, malah di Thailand juga. Saya buat menu ini menggunakan tiga biji telur dengan bahan tambahan seperti Thai basil, bawang, taugeh dan sos prik nampla. RM13 pada saya masih berpatutan.

"Mereka kata kedai lain jual telur dadar RM2. Sekarang, rata-rata orang jual telur dadar RM4 ke RM5. Seketul dalam pinggan, guna sebiji telur dengan Ajinomoto saja. Telur dadar di kedai saya dibuat dengan pelbagai bahan. Paling penting, semua bahan fresh," ujarnya kepada mStar.

Menurut Dania yang popular dengan menu tom yam dan daging harimau menangis, dia tidak berkecil hati, sebaliknya menganggap kecaman itu sebagai lumrah biasa yang perlu dilaluinya dalam dunia perniagaan.

ARTIKEL BERKAITAN: Ingatkan di Thailand, rupanya Sri Petaling je... Kedai roti tiba-tiba viral, makin ramai nak serbu jamu mata

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga makanan tiba-tiba viral, kedai jadi tumpuan pelanggan... Ada yang sanggup datang berulang kali

"Perkara ini biasa pada saya. Saya tak kecil hati. Saya juga tak salahkan mereka yang komen. Ada yang komen buruk, doa bukan-bukan, label saya sebagai kapitalis dan Yahudi. Saya tak marah. Mereka tak tahu apa yang saya lalui.

"Dulu orang kecam, saya cuba buat penjelasan dengan niat baik untuk orang tahu. Tapi orang anggap saya tak boleh terima teguran. Hari ini, kita ambil pendekatan menerima saranan. Contohnya semalam viral telur dadar, terus kita upgrade letak udang.

"Bila buat macam ni, orang cakap saya takut pula sebab isu telur dadar RM13 dah viral di Twitter. Jadi terbukti di sini yang orang tak akan pernah berpuas hati. Saya hanya mampu berlapang dada dan abaikan. Saya ada misi lebih penting untuk majukan perniagaan," ujar Dania lagi.

DNAI43

Dania memiliki hampir 400,000 pengikut di TikTok.

Di sebalik isu tular itu, Dania yang kini mempunyai 30 pekerja mengakui bersyukur apabila perniagannya di tapak pasar malam Ipoh itu masih menerima sambutan luar biasa sejak ia beroperasi pada 3 November 2021.

"Pelanggan yang beratur panjang masih konsisten sehingga sekarang. Lepas pertama kali viral di TikTok, saya letak keazaman tinggi untuk buat dengan lebih baik. Ia terbukti apabila repeat customer sangat ramai. Saya percaya, selepas viral, orang akan terus datang kalau kita konsisten bagi yang terbaik.

"Terima kasih kepada yang menyokong sejak dulu hingga sekarang. Ribuan terima kasih atas doa yang baik-baik. Tak lama lagi, kami juga akan membuka sebuah restoran," ujar Dania lagi.

Untuk rekod, Dania yang mempunyai hampir 400,000 pengikut di aplikasi TikTok sering berkongsi video perjalanan perniagaannya, termasuk menu-menu yang ditawarkan di kedainya.

Malah, video memaparkan orang ramai yang beratur panjang di kedainya turut tular di TikTok, sehingga berjaya menarik kehadiran ramai pelanggan dari luar Perak.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain