suria

Gembira bertukar duka… Anggota Rela meninggal dunia dalam perbarisan Hari Kebangsaan

Tangkap layar video kejadian itu.

SEORANG anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) meninggal dunia ketika menyertai perbarisan sempena sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan di Dataran Majlis Bandaraya Seremban, Khamis pagi.

Menerusi video tular, beberapa anggota Rela dilihat keluar daripada barisan kawad untuk membantu mangsa yang tiba-tiba rebah di atas jalan raya.

Ketua Polis Seremban, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata lelaki itu mengalami serangan jantung ketika melakukan lintas hormat sekitar pukul 10 pagi.

“Bedah siasat yang dijalankan mendapati punca kematian disebabkan masalah jantung dan pemeriksaan pada tubuh badan mangsa mendapati tiada unsur jenayah dikesan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” ujarnya menerusi satu kenyataan.

Jenazah anggota Rela berusia 53 tahun itu disahkan meninggal dunia di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) Negeri Sembilan,’’ ujarnya lagi.

Menjengah ke ruangan komen di media sosial, netizen turut menzahirkan rasa sedih atas kematian anggota berkenaan.

“Ya Allah. Takziah buat wira negara yang kurang didendang ini.

“Daripada gembira bertukar sedih. Salam takziah untuk arwah dan keluarga.

“Semoga syurga buatmu,” tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain