SEBUAH restoran nasi ayam ‘claypot’ yang sebelum ini tular di media sosial kerana didakwa menggunakan bahan tidak halal, bukan pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) yang sah. Menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dalam satu kenyataan di Facebook, pihaknya tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis berkenaan sepanjang operasinya “Ketika ini ditularkan melalui media sosial berkenaan dengan status halal sebuah premis makanan di Sri Petaling yang menggunakan ‘Rice Wine’ dalam masakan. “Isu ini telah menimbulkan keresahan di kalangan pengguna muslim yang mengunjungi premis tersebut. “Berdasarkan semakan melalui Portal Halal Malaysia, premis tersebut bukan pemegang SPHM yang sah dan pihak Jakim tidak pernah mengeluarkan pensijilan halal untuk premis tersebut,” katanya dalam kenyataan, Sabtu. Tambahnya, pengguna Muslim dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam memilih premis makanan yang ingin dikunjungi. “Pastikan premis yang dipilih merupakan pemegang SPHM yang sah daripada Pihak Berkuasa Berwibawa Pensijilan Halal Malaysia,” demikian nasihat Jakim. Semakan boleh dilakukan melalui Portal Rasmi Halal Malaysia, aplikasi telefon pintar Verify Halal untuk mengetahui produk dan premis makanan yang memiliki SPHM. Terdahulu, sebuah video dimuat naik pengguna di TikTok menunjukkan tindakan seorang peniaga menggunakan bahan dikhuatiri tidak halal di dalam masakannya menimbulkan kebimbangan pengguna muslim. Malah, seorang pempengaruh di TikTok juga turut membuat ulasannya mengenai makanan nasi ayam ‘claypot’ yang dijual peniaga tersebut di sebuah restoran. Peniaga itu mendakwa makanan yang kebiasaannya dimakan oleh bangsa Cina itu diubah menjadi versi halal supaya pelanggan beragama Islam turut dapat menikmatinya. Bagaimanapun, ada pengguna media sosial mendakwa peniaga itu sebelum ini telah menggunakan bahan tidak halal di dalam masakannya iaitu wain untuk memasak sebelum menukar bahan itu kepada minyak bijan sebaik sahaja restorannya tular. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube