suria

Langgar anggota JPJ sampai terpelanting! Mat rempit Y125ZR rupanya tiada lesen, insuran

Penunggang motosikal merempuh seorang anggota JPJ ketika dia cuba melanggar sekatan.

SEORANG anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) cedera selepas dia dilanggar penunggang motosikal yang merempuh sekatan jalan raya (SJR) pada Ahad.

Menerusi video yang dikongsi di media sosial, anggota berkenaan dilihat terpelanting dan terhantuk kepalanya akibat rempuhan yang berlaku dalam sekelip mata itu.

Susulan itu JPJ dalam satu kenyataan pada Ahad petang mengesahkan kejadian yang berlaku ketika Operasi Penguatkuasaan SJR di KM23 Lebuhraya Seremban Port Dickson (SPDH) Hala Port Dickson, Negeri Sembilan.

"Kejadian berlaku apabila seorang penunggang motosikal jenis Yamaha Y125ZR bertindak melanggar sekatan dan merempuh anggota yang bertugas di lokasi itu pada pukul 11 pagi.

ARTIKEL BERKAITAN: Rider mengamuk tendang motor rupanya 3 tahun tak bayar hutang... Buat ‘drama’ sebelum serah kepada ejen tarik

"Hasil siasatan JPJ Negeri Sembilan, penunggang motosikal itu mempunyai dua senarai hitam masih aktif dan diambil tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," ujar kenyataan itu.

Penunggang motosikal itu mempunyai beberapa kesalahan, antaranya Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh, tiada perlindungan insuran dan tiada Lesen Memandu Kompeten (CDL).

Satu laporan polis dibuat dan penunggang motosikal tersebut diserahkan kepada Jabatan Siasatan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) IPD Port Dickson untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) APJ 1987 dan di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas.

Dalam pada itu, sebuah lagi video berasingan menunjukkan anggota yang dilanggar itu dibawa menaiki sebuah kenderaan untuk ke hospital bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain