suria

Ditumbuk hingga sesak nafas, dipijak sampai pengsan... Remaja longlai ‘dikerjakan’ 3 pelajar di sekolahnya

Seorang remaja longlai selepas dia didakwa dipukul oleh tiga pelajar lain.

KEJAM dan tidak berperikemanusiaan.

Seorang pelajar lelaki tidak bermaya selepas dia didakwa dipukul oleh tiga pelajar lain di sebuah sekolah dekat Seberang Takir, Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis.

Menerusi video tular di TikTok, mangsa terpaksa dipapah oleh seorang individu sebelum dia dibaringkan di atas katil pengusung.

Seorang ahli keluarga mangsa di aplikasi TikTok berkata, adiknya yang sedang bersendirian dipukul oleh tiga pelajar lain sehingga pengsan dan mengalami sesak nafas.

"Adik saya dipukul tiga orang pelajar tingkatan dua sedangkan dia hanya seorang. Bayangkan ditumbuk sehingga sesak nafas dan dipijak sehingga pengsan.

"Ramai yang melihat tapi tidak mampu melawan kerana ramai yang back-up si pembuli. Dipukul lebih kurang pukul 12 lebih dan diberitahu pada pukul 2 lebih.

ARTIKEL BERKAITAN: Samseng sekolah ‘flying kick’ rakan dalam tandas dicekup... Polis tahan 9 pelajar bantu siasatan kes buli

"Ingatlah pada si pembuli hidupmu tidak akan aman sampai mati," ujar ahli keluarga mangsa.

Semakan mStar di ruangan komen mendapati ramai netizen menyelar tindakan pelaku dan mendoakan agar mangsa diberi kesembuhan segera.

"Tolonglah pihak sekolah ambil tindakan. Cegah gejala buli ni.

"Minta dijauhkan. Untuk awak sekeluarga, semoga dapat keadilan yang sewajarnya.

"Harap pihak berwajib ambil tindakan undang-undang pada pembuli, pada adik ni semoga cepat sembuh," tulis netizen.

Dalam pada itu, Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) mengesahkan telah menerima laporan berhubung kejadian itu.

Memetik laporan Utusan Malaysia, Pengarah JPNT, Abdul Muie Ngah berkata insiden pada Khamis itu dipercayai membabitkan pelajar tingkatan satu dan dua yang mana berlaku selepas waktu persekolahan di dalam kawasan sekolah tersebut.

Jelasnya, guru di sekolah itu telah mengambil tindakan sewajarnya sejurus mengetahui kejadian tersebut dengan membawa mangsa ke sebuah klinik.

Pihak sekolah termasuk pengetuanya juga telah berjumpa keluarga terlibat bagi mencari jalan penyelesaian, namun masih menanti hasil pertemuan itu sehingga kini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain