suria

Kukuhkan integrasi nasional, hayati semangat penubuhan Malaysia - Fadillah Yusof

Fadillah menyeru rakyat Malaysia bersatu, hargai perjuangan Hari Malaysia.

HARI Malaysia mampu menguatkan integrasi nasional agar masyarakat sedar erti Merdeka yang sebenar kerana ia bukan sahaja Tanah Melayu tetapi turut melibatkan Sabah dan Sarawak.

Bersempena sambutan tersebut, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof menyeru masyarakat untuk bersama-sama menzahirkan penghayatan dan meraikan penubuhan Persekutuan Malaysia dengan rasa bangga serta berjiwa bangsa.

"Ayuh semua kita kenangkan kembali jasa dan pengorbanan Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj dan tokoh-tokoh Sabah dan Sarawak yang telah menjayakan pembentukan Malaysia.

"Tautkan kembali ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di Malaysia. Hentikan sentimen 3R (Raja, agama, dan kaum) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara," katanya menerusi perutusan Hari Malaysia di Facebook rasminya pada Sabtu.

Memetik makna 'Segulai Sejalai', beliau menegaskan, semua rakyat perlu mengekalkan keharmonian, memastikan negara selamat, serta menjamin kestabilan.

Bahkan kata beliau, kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan serta kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian.

"Hargailah apa yang kita miliki sekarang melalui semangat kebersamaan kerana kukuh dan majunya negara ini adalah hasil perjuangan bersama.

"Hari Malaysia harus menjadi medan manfaat untuk mengintegrasikan Sabah, Sarawak dan Semenanjung ke arah agenda pembangunan yang lebih berdaya maju, demi kelangsungan negara bangsa Malaysia yang tercinta.

"Marilah kita semua menghayati makna Hari Malaysia supaya generasi akan datang dapat memiliki Malaysia yang lebih baik," tambah beliau.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain