suria

Kedua-dua juruterbang sihat, tiada bukti bulu burung pada enjin pesawat terhempas di Elmina

Rangka pesawat Beechcraft Premier 1 dibawa keluar dari lokasi nahas. -The Star

LAPORAN awal nahas pesawat Beechcraft Premier 1 yang terhempas pada 17 Ogos lalu kini boleh diakses di laman sesawang Kementerian Pengangkutan.

Laporan setebal 26 muka surat itu merungkaikan secara mendalam mengenai keadaan pesawat dan fakta tragedi menyayat hati yang mengorbankan 10 nyawa di Bandar Elmina, Shah Alam.

Antara rumusan lain yang turut dibuat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) MoT adalah punca tragedi, data nyahpecutan dan kebakaran selepas kemalangan.

Berikut adalah antara beberapa sorotan penting daripada laporan siasatan nahas pesawat berkenaan.

Kedua-dua juruterbang sihat

Berdasarkan sejarah kesihatan dan pemeriksaan fizikal, kedua-dua juruterbang itu tidak mempunyai masalah perubatan serius.

Justeru, laporan mengenepikan faktor kesihatan sebagai punca nahas memandangkan kedua-dua juruterbang juga mendapat rehat yang cukup sebelum penerbangan.

Laporan juga menyebut bahawa transkripsi awal fail audio perakam suara kokpit itu sudah selesai dan analisis sedang dijalankan.

Transkrip tersebut hanya akan dimasukkan dalam laporan akhir jika perlu.

Antara bahagian dalam enjin kiri pesawat.

Tiada bukti penemuan objek asing pada enjin pesawat

Laporan mendedahkan kedua-dua belah enjin kiri dan kanan pesawat tidak mempunyai bukti yang menunjukkan sebarang kehadiran objek asing.

Seterusnya, laporan menyatakan kedua-dua enjin juga tidak mempunyai bukti pembebasan bilah seperti kemek, tebuk dan bulu burung pada mana-mana komponen enjin.

Pesawat berkenaan mempunyai Sijil Kelayakan Udara sah dan telah dikekalkan dengan mematuhi peraturan.

Trajektori pesawat yang membelok ke kanan.

Trajektori pesawat menunjukkan pembelokan ke kanan

Berdasarkan laporan, data mendapati pada pukul 2.47 petang, pada ketinggian 2,600 kaki, pesawat itu berdepan pengurangan kelajuan dan penurunan.

Dalam tempoh dua minit, iaitu pada pukul 2.49 petang, pada ketinggian 1,025 kaki, pesawat itu mula membelok ke kanan dan berterusan hingga berada pada ketinggian 550 kaki.

Rekod itu menjadi penghantaran data yag terakhir.

Manakala laporan menyatakan ground speed pesawat semasa pusingan kanan itu adalah antara 146 dan 154 knot.

Laporan akhir dijangka selesai selewat-lewatnya Ogos tahun depan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain