suria

“Muka hang jahanam!” - Kecoh peniaga ikan bakar di Perlis campak duit... Rupanya dah lama orang bagi ‘rating’ 1 bintang dalam Google

Seorang peniaga memaki pelanggan di meja makan.

KISAH peniaga dalam kategori ‘makcik puaka’ nampaknya boleh berlaku di mana-mana sahaja dan terbaharu pelanggan di sebuah gerai di utara tanah air didakwa menjadi mangsa amukan.

Ia hangat diperkatakan selepas tular video di media sosial mengenai kekecohan yang berlaku di sebuah gerai ikan bakar di Perlis.

Menerusi satu perkongsian di Twitter, seorang wanita mengaku sebagai pelanggan yang berkunjung ke gerai berkenaan bersama rakan-rakannya mendakwa dilayan dengan biadab oleh peniaga.

Dakwanya, kekecohan bermula apabila salah seorang daripada mereka mahu menukar tempahan sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati peniaga.

“Hang layan sat depa ni, banyak tanya sangat,” kata peniaga itu kepada pekerjanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak sulung peniaga ikan bakar Perlis cerita POV staf... Dakwa pelanggan cetus provokasi, sama naik menengking ibu

Malah dakwanya lagi, ketika hendak membuat bayaran di gerai, peniaga tersebut dilihat turut berkelakuan biadab terhadap pelanggan-pelanggan lain.

Pelanggan wanita terbabit kemudiannya mendakwa dia cuba menegur peniaga itu dengan baik.

“Lain kali layan pelanggan elok-elok,” katanya sebelum peniaga itu mula mengamuk dan terpekik sehingga menjadi perhatian ramai.

Review pelanggan terhadap servis di gerai berkenaan.

Sekembalinya ke meja makan yang terletak di seberang jalan, peniaga itu nampaknya masih tidak berpuas hati.

Dia dilihat datang ke arah mereka dan mencampakkan wang sebanyak RM8.

“Hang anak dara lagi buat perangai elok-elok sikit. Hang bayar RM8 dekat aku, hang nak cakap lebih kurang.

“Setakat RM8 hang ni aku tak hairan, pelanggan aku ramai lagi. Hang cakap elok aku bagi elok, hang cakap tak elok muka hang jahanam,” kata peniaga tersebut dengan nada menengking.

Susulan video yang tular, nampaknya bukan wanita berkenaan dan rakan-rakannya sahaja mengalami nasib seperti itu.

Menerusi semakan di enjin carian Google, ia mendedahkan gerai tersebut sering menerima review rendah daripada pelanggan.

Antara maklum balas pelanggan dalam tempoh beberapa bulan.

Kebanyakan maklum balas negatif sejak beberapa bulan lalu tertumpu kepada sikap dan layanan peniaga termasuk servis yang kurang memuaskan.

“Pesan lebih satu jam tunggu tak sampai. Last sekali aku cancel. Anda kalau travel jangan la singgah sini makan. Boleh blacklist.

“Bukan nak cakap la. Ada seorang makcik ni muka tak manis dengan tak senyum, servis out. Mungkin makcik period (datang bulan) kot. Makcik tu kutuk orang je lebih, stres tak mahu pergi makan dah.

“Makcik dok jaga kaunter tu agak biadab. Aku ni baran tau tapi sabar je la. Kalau rasa nak rezeki tu berkat, layanlah pelanggan elok-elok,” demikian antara komen pelanggan yang rata-ratanya memberikan rating satu daripada lima bintang.

Sementara itu, mStar cuba untuk menghubungi gerai tersebut, namun gagal apabila nombor yang dikongsikan menerusi carian Google tiada lagi dalam perkhidmatan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain