suria

Ditipu ketika cari kerja... Remaja lelaki dikurung 10 hari di Kampung Pandan, diliwat berulang kali

Kaum lelaki juga tidak terlepas menjadi mangsa keganasan seksual. -Gambar hiasan

SEORANG remaja didakwa diliwat dan dikurung secara salah selepas terjerat ketika mencari kerja melalui media sosial.

Sumber berkata, remaja lelaki berusia 18 tahun itu ditawarkan bantuan mencari pekerjaan oleh suspek lelaki.

Beberapa hari selepas berkenalan, suspek menawarkan diri untuk menumpangkan mangsa ke lokasi kerja yang sepatutnya.

“Mangsa bersetuju. Suspek mengambilnya dari rumahnya di Bukit Jalil.

“Suspek membawa mangsa ke rumahnya di Kampung Pandan dan berjanji akan membawanya ke pasar raya untuk bekerja,” kata sumber itu.

Selain dibawa ke sebuah pasar raya untuk bekerja, mangsa turut dibawa pulang ke rumah suspek.

“Mangsa diarah melakukan kerja rumah dan tidak dibenarkan keluar rumah.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri sarat mengandung anak pertama... Guru tahfiz didakwa liwat pelajar lelaki

“Dia dikurung secara salah selama 10 hari dan diliwat oleh suspek beberapa kali,” kata sumber itu.

Mangsa turut diugut supaya tidak mendedahkan apa yang berlaku sebelum akhirnya dibenarkan pulang.

Mangsa yang trauma hanya memberitahu keluarganya tentang pengalaman pahit itu baru-baru ini dan membuat laporan polis pada Isnin.

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Allaudeen Abdul Majid mengesahkan menerima laporan itu dan kes disiasat mengikut Seksyen 377C Kanun Keseksaan.

“Kami sudah mengenal pasti suspek dan kes masih diteruskan.

“Kami dalam proses menerima laporan perubatan mengenai mangsa,” katanya lagi. - The Star.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain