PELIK tapi benar. Seorang peniaga mendedahkan dia 'dimadukan' isterinya sendiri yang didakwa berkahwin dengan lelaki lain secara sembunyi. Menurut Rahaman Mohamed Jaafar, 47, dia menikahi wanita itu di Narathiwat, Thailand pada Januari 2019 sebelum mendaftarkan pernikahan dengan Pejabat Agama Jajahan Tanah Merah. Namun, Rahaman berkata wanita berusia 32 tahun itu keluar daripada rumah dan menghilangkan diri sejak Januari lalu. Pada April, Rahaman dikejutkan dengan berita perkahwinan wanita itu dengan seorang lelaki sedangkan mereka masih berstatus suami isteri. "Selepas kehilangan isteri pada Januari, saya mendapat tahu di media sosial pada April bahawa dia berkahwin dan perkara itu agak mengejutkan kerana saya tidak pernah menceraikannya. ARTIKEL BERKAITAN: Beri izin tapi gagal bertahan! Isteri cuba sedaya upaya terima poligami dan madu akhirnya undur diri, kini hidup lebih tenang "Kami masih suami isteri. Selepas membuat semakan, saya dapati isteri ada membuat permohonan untuk berkahwin dengan lelaki lain yang berusia 42 tahun di Pejabat Agama Besut, Terengganu pada April. "Dia dipercayai menggunakan surat cerai dengan suami terdahulu iaitu sebelum berkahwin dengan saya," dakwa Rahaman. Pada Rabu, Rahaman bersama peguamnya, Marzuqi Muhamad hadir di Mahkamah Rendah Syariah Tanah Merah untuk prosiding keputusan lafaz cerai talak tiga yang difailkan isterinya. Kata Rahaman, dia tidak pernah membuat lafaz cerai terhadap isterinya sebagaimana yang didakwa dan yakin mereka kini masih suami isteri yang sah. "Saya sangat kecewa dengan tindakan isteri. Empat tahun kami berkahwin, baru beberapa bulan saya mendapat sijil nikah, namun akhirnya saya dimadukan. "Saya percaya pejabat agama mengeluarkan kebenaran berkahwin terhadap isteri saya dengan suami keduanya kerana perkahwinan kami di luar negara dalam proses pengesahan di sini," katanya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube