suria

“Barang dipaksa beli tidak sah!” - Ustaz Azhar Idrus tegur sistem ‘support vendor’, Kieda pula kata tak sokong peniaga Melayu

Kieda membalas kenyataan dibuat Ustaz Azhar mengenai sistem jual beli yang diperkenalkannya.

KECOH di laman sosial baru-baru ini apabila seorang peniaga memperkenalkan sistem 'support vendor' iaitu pembeli perlu memberi produk peniaga lain terlebih dahulu.

Sehubungan itu pendakwah terkenal, Ustaz Azhar Idrus (UAI) mengulas mengenai hukum jual beli seperti itu.

Jelas Ustaz Azhar, kaedah tersebut adalah tidak sah sekiranya ia seolah-olah memaksa pelanggan membayar harga barang yang tidak diingininya.

“Barang yang kita beli tu dianggap sah dan barang yang kita dipaksa beli itu tidak sah. Ini kerana jual beli perlu ada keredaan dalam hati penjual dan pembeli.

“Bermakna jual beli itu tidak sah. Kita pegang barang orang secara batil, penjual pegang duit orang secara tidak betul. Allah tak suka cara macam ni.

“Dalam mazhab Syafie, ada ijab kabulnya. Asalnya tidak wajib, isytihar menunjukkan yang tersembunyi dalam hati diterjemahkan dalam lisan, Saya berjual, saya beli menunjukkan reda, jangan paksa orang beli,” jelasnya.

Tangkap layar yang dikongsikan semula di Twitter.

Ustaz Azhar mengulas mengenai isu berkenaan apabila diajukan soalan ketika menyampaikan ceramah agama di sebuah masjid.

Susulan itu pengusaha Kieda Crepe, Siti Nur Khalieda Yusra atau Kieda tampil memberi kenyataan balas dan menegaskan dia tidak pernah memaksa pelanggan membeli makanan yang dijual di kedainya.

Katanya lagi, semua pelanggan sudah sedia maklum mengenai cara jualan sebelum memasuki premisnya.

“Kalau Melayu menjual semua hukum hakam keluar. Kalau support bangsa lain tak ada masalah. Hukum pun boleh lupa janji boleh support dan post benda mahal boleh beli,” katanya menerusi ruangan kapsyen pada salah satu video dimuat naik olehnya.

Dia bagaimanapun memadam hantaran asal namun ia sempat dimuat naik semula di Twitter.

Untuk rekod Keida menggunakan sistem 'Kedai support vendor, baru support Kieda yang dipasang pada banner di hadapan kedainya yang terletak di Pulau Pinang.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain