suria

Perkasa pensijilan, industri halal negara... Jawatankuasa Kabinet akan ditubuhkan

Anwar (dua, kanan) dan Ahmad Zahid (dua, kiri) melawat pameran sempena GHaS 2023. -Gambar The Star/Kamarul Ariffin

KOMITED untuk memperkasakan industri halal untuk berkembang lebih meluas, jawatankuasa baharu akan ditubuhkan oleh Kabinet bagi menyelaraskan pelbagai cabang kerajaan yang terlibat dalam industri halal, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Jawatankuasa Kabinet baharu yang dipengerusikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan memastikan wujud sinergi baharu antara semua agensi, jabatan dan kementerian.

Perdana Menteri berkata demikian dalam ucapan perasmiannya sempena Sidang Kemuncak Halal Global (GHaS) 2023 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di Kuala Lumpur, pada Selasa.

Turut hadir Ahmad Zahid dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Nai'im Mokhtar.

Orang ramai mengambil peluang menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023.

Orang ramai menyertai Pameran Halal Antarabangsa Malaysia (Mihas) 2023.

Anwar berkata, beliau telah membincangkan isu berkaitan industri halal dengan pemimpin-pemimpin dari China, Jepun, Vietnam dan Korea semasa mesyuarat antarabangsa.

Perdana Menteri berkata, halal bukan sahaja popular di kalangan umat Islam tetapi juga di kalangan ramai lagi kerana kebersihan dan kandungannya yang baik.

“Pensijilan halal Malaysia sebahagian besarnya diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa. Negara dan industri merujuk kepada pensijilan Malaysia kerana ia diiktiraf kerana piawaian yang tinggi.

“Pensijilan itu bukan sekadar 'halalan toyyiban' (bersih dan baik) tetapi untuk melihat pengeluaran sijil yang lebih cekap dan cepat. Sinergi antara pensijilan dan promosi industri halal adalah penting,” kata beliau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi ucapan pelancaran di GHaS 2023. -Gambar The Star/Kamarul Ariffin

Anwar menyampaikan ucapan perasmian di GHaS 2023.

Menurut Perdana Menteri, syarikat yang lebih kecil juga harus dibenarkan memasuki pasaran global dengan pensijilan halal.

“Bagi kewangan Islam yang diperkenalkan 40 tahun lalu, instrumen ini tidak mencukupi sekarang. Kita harus memastikan instrumen kewangan Islam ini boleh dijadikan alternatif untuk semua orang dan bukan hanya sebagai instrumen tanpa riba.

(Riba dalam bahasa Arab bermaksud bunga berganda yang membebankan, yang diharamkan oleh Islam).

“Kita harus menaik taraf instrumen kewangan Islam supaya ia boleh diserap dalam struktur ekonomi antarabangsa,” kata Anwar, sambil menambah industri halal boleh bernilai lebih daripada AS$1 trilion (RM4.7 trilion).

Perasmian Mihas 20232 dilancarkan.

Perasmian Mihas 20232.

Pada majlis sama, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata, proses pengeluaran pensijilan halal yang lebih cepat oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) kini dalam tempoh 30 hari bagi permohonan tempatan dan tiga bulan bagi permohonan luar negara.

“Jakim melangkah ke hadapan dengan melaksanakan Inisiatif Segera Pensijilan Halal Malaysia 2.0 bagi meningkatkan pengeluaran pensijilan halal tanpa mengetepikan aspek integriti dan pematuhan syariah,” katanya.

Beliau berkata, Jakim sedang berusaha ke arah penyeragaman piawaian halal antara negara dan industri yang berbeza dan menggunakan teknologi tinggi sepenuhnya.

“Kita menggunakan alat digital seperti teknologi rantaian blok untuk memantau keseluruhan rantaian bekalan dan mendidik pelanggan tentang status halal barangan.

“Kita juga akan menggunakan integrasi teknologi untuk menyelaraskan proses pensijilan bagi mengemukakan permohonan, pengawasan dan berkomunikasi dengan badan pensijilan,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain