suria

Disyaki perisik, pelajar Malaysia ditahan di Norway! Peranti, alat pengintipan dirampas

Pelajar tersebut ditahan ketika membuat pengintipan bersama perantinya. -Gambar hiasan The Star

SEORANG pelajar Malaysia berusia 25 tahun telah ditahan di Norway kerana disyaki mengintip, termasuk mencuri dengar secara haram melalui pelbagai peranti teknikal.

Penyiar awam Norway, NRK, bagaimanapun menyatakan tindakan tersebut tidak melibatkan kerajaan Malaysia.

Agensi keselamatan domestik Norway, yang dikenali PST, memberitahu media Norway bahawa lelaki itu ditangkap pada Jumaat (8 September) dan telah didakwa di mahkamah pada Ahad dengan operasi pengintipan serta risikan terhadap negara Nordik itu.

Lelaki itu, yang identitinya tidak didedahkan, telah mengaku tidak bersalah dalam siasatan awal polis.

Pihak berkuasa Norway juga tidak menyatakan negara mana lelaki itu didakwa mengintip.

"Kami tidak begitu tahu apa yang dihadapi. Kami berada dalam fasa kritikal, awal dan terdedah dalam siasatan," peguam PST Thomas Blom dipetik sebagai berkata.

Pun begitu ujar beliau, suspek didakwa menggunakan pemasangan teknikal untuk risikan isyarat haram.

Polis telah merampas beberapa peranti elektronik pembawa data, yang kini sedang disiasat oleh PST.

Suspek adalah seorang pelajar, tetapi dia tidak mendaftar di institusi pendidikan di Norway dan telah tinggal di Norway untuk masa yang agak singkat.

Memetik perintah tangkap, NRK berkata suspek didakwa telah ditahan ketika melakukan pengawasan isyarat haram di dalam kereta sewa berhampiran pejabat perdana menteri Norway dan kementerian pertahanan.

Justeru mahkamah memutuskan lelaki itu telah dipenjarakan dalam tahanan praperbicaraan selama empat minggu dengan larangan menerima surat dan lawatan.

Pegawai keselamatan berkata suspek tidak beroperasi bersendirian dan dalam penilaiannya sebelum ini, PST telah memilih negara jiran Rusia, China dan Korea Utara sebagai negara yang menimbulkan ancaman perisikan yang ketara kepada Norway, sebuah negara berpenduduk 5.4 juta. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain