suria

Dua pelajar di Kelantan tunjuk 'hero' bertumbuk, bakal dipanggil polis selepas video tular

Tangkap layar video dua remaja lelaki bertumbuk di kawasan tanah lapang di Kampung Bukit Kecik, Melor pada minggu lalu.

POLIS akan memanggil dua remaja lelaki yang dipercayai bertumbuk di Kampung Bukit Kecik, Melor, Kelantan minggu lalu untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya menerima laporan kira-kira pukul 11.18 pagi Isnin berhubung video mereka yang tular di media sosial.

Rakaman tersebut memaparkan dua remaja lelaki bertumbuk dengan disaksikan oleh sekumpulan remaja lelaki lain.

Menurut Rosdi, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku kira-kira pukul 3 petang pada 7 September lalu di kawasan tanah lapang di Kampung Bukit Kecik, Melor.

“Kedua-dua suspek berusia 14 dan 15 tahun itu merupakan pelajar di sebuah sekolah menengah di Ketereh.

“Kejadian berpunca daripada perselisihan faham antara kedua-dua suspek. Sehubungan itu, dua remaja yang terlibat akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Rosdi memberitahu siasatan lanjut bagi mengenal pasti motif sebenar pergaduhan itu sedang giat dijalankan.

Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Inspektor Nur Asminda Mohd Apandi di talian 017-250 9251 atau 09-775 2200 atau di balai polis berhampiran.

Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana bergaduh.

Terdahulu, tular satu video yang memaparkan dua remaja bertumbuk di kawasan tanah lapang disaksikan oleh sekumpulan remaja lain.

Saksi yang terlibat dalam kejadian itu juga hanya memerhatikan pergaduhan tersebut dan tidak bertindak untuk menghentikan perbuatan mereka.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain