SIDANG khas Dewan Rakyat pada Isnin kecoh dengan isu berkaitan usul tergempar pada pembukaan sidang berkenaan. Pertama, blok Pembangkang ingin tahu sama ada usul tergempar untuk membahaskan keputusan mahkamah melepas tanpa membebaskan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, baru-baru ini. Ia susulan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) bangkit bertanya mengenai usul tergempar dibawa olehnya. Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul berkata, ahli Parlimen akan diberi peluang untuk membangkitkan perkara yang tidak berkaitan dengan aturan mesyuarat Dewan, selepas agenda sidang khas itu selesai. Sementara itu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan (PN-Kota Bharu) berkata, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menggantikan Speaker dengan mengatakan bahawa tidak ada keperluan untuk Parlimen membahaskan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung kes rasuah Timbalan Perdana Menteri. Datuk Seri Ronald Kiandee (PN-Beluran) kemudian menambah bahawa ia adalah isu besar dan bertanya sama ada Anwar benar-benar melangkaui Johari. Sehubungan itu, Johari berkata kenyataan itu dibuat di luar Dewan Rakyat. “Perdana Menteri berkata di luar Parlimen. Itu hak dia,” katanya. Kiandee juga mendakwa Anwar telah membuat keputusan itu bagi pihak Johari. Namun, Johari menafikan dakwaan tersebut. Ketika didesak oleh Takiyuddin berhubung usul tergempar Wan Ahmad Fayshal, Johari berkata ia ditolak. Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainuddin (PN-Larut) kemudian bertanyakan adakah usul yang dibawa oleh Wan Ahmad Fahysal dibenarkan untuk dibahas atau tidak. Menyeru ahli Parlimen supaya bersabar, Johari berkata peluang untuk membincangkan perkara itu akan diberikan kemudian. "Saya tahu enjin masih panas pada hari pertama," kata Johari secara berseloroh semasa meneruskan persidangan Dewan Rakyat. Sidang Dewan Rakyat turut dipanaskan dengan isu peraturan pemakaian tali leher. Peraturan pemakaian itu menyebabkan Hamzah bertanya sama ada tali leher dan blazer adalah pilihan. “Kalau tak pakai tali leher, kena pakai kot. Jadi kalau tak pakai tali leher tak perlu pakai kot?" soal Hamzah. Mohd Sany Hamzan (PH-Hulu Langat) kemudian membalas dengan mengatakan bahawa Ketua Pembangkang itu mengelirukan dan membuang masa. Jumaat lalu, Wan Ahmad Fayhsal mengemukakan usul tergempar berkenaan bagi meminta sidang Dewan Rakyat, pada Isnin ditangguhkan mengikut Perkara 18 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat untuk memohon penjelasan daripada Peguam Negara mengenai keputusan penarikan balik 47 pertuduhan ke atas Ahmad Zahid. Pada 4 September lalu, Mahkamah Tinggi melepas tanpa membebaskan (DNAA) Ahmad Zahid daripada 47 pertuduhan rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi. Parlimen dijadual bersidang selama enam hari mulai Isnin untuk membentangkan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan seterusnya membahaskannya. - The Star Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube