suria

Lelaki didakwa bunuh 23 penghuni tahfiz pada 2017 kekal dilepaskan dan dibebaskan

Seorang lelaki keluar selepas dibebaskan daripada tuduhan membakar pusat tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.

MAHKAMAH Rayuan Putrajaya pada Isnin mengekalkan keputusan seorang lelaki berusia 22 tahun dilepas dan dibebaskan daripada 23 pertuduhan membunuh.

Dalam kejadian 14 September 2017 itu, seramai 21 pelajar dan dua warden pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun, memutuskan keputusan itu secara sebulat suara.

Panel hakim menolak permohonan pihak pendakwaan yang ingin mensabitkan kesalahan selepas Mahkamah Tinggi sebelum ini melepas dan membebaskan tertuduh kedua dalam kes ini daripada pertuduhan membunuh.

Hakim Che Mohd Ruzima berkata, pihaknya sebulat suara tiada sebab mengubah keputusan hakim Mahkamah Tinggi untuk membebaskan perayu kedua ketika membaca penghakimannya.

"Rayuan pendakwa raya seharusnya ditolak, keputusan hakim Mahkamah Tinggi dikekalkan," katanya.

Pusat tahfiz yang terbakar dalam kejadian 14 September 2017.

Pusat tahfiz yang terbakar dalam kejadian 14 September 2017.

Ketika kejadian, tertuduh berusia 16 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati kerana menjadi pesalah di bawah umur 18 tahun.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Dalam kejadian menyayat hati pada 14 September 2017, seramai 23 mangsa terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, Kuala Lumpur antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Sementara itu, seorang lagi lelaki iaitu suspek pertama kekal dipenjara selama tempoh diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain