suria

Lelaki pijak, tendang gelandangan sampai berdarah dicekup polis, reman 3 hari

Suspek pijak gelandangan sampai berlumuran darah ditahan polis.

BARU-BARU ini tular satu hantaran di Twitter memaparkan seorang lelaki disyaki menendang dan memijak seorang gelandangan di Jalan Tun Tan Cheng Lock, Kuala Lumpur.

Tidak mengambil masa yang lama, suspek seorang warganegara akhirnya sudah ditahan polis pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner (ACP) Noor Dellhan Yahaya berkata pihaknya menerima laporan berhubung kes tersebut pada pukul 12.11 tengah malam Isnin.

Kemudian pada pukul 1.46 pagi Isnin, seorang lelaki berusia 36 tahun ditahan bagi membantu siasatan dalam kes berkenaan.

"Suspek direman selama tiga hari bermula Isnin sehingga Rabu dan kes disiasat dibawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan.

"Siasatan sedang berjalan bagi melengkapkan kertas siasatan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi arahan lanjut.

“Pihak polis menasihati orang ramai tidak terlibat di dalam sebarang aktiviti menyalahi undang-undang. Tindakan akan diambil mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa,” katanya.

Terdahulu tular foto menunjukkan seorang lelaki gelandangan dilihat terbaring berlumuran darah di kaki lima jalan selepas mengalami pendarahan di bahagian kepala.

Difahamkan mangsa dipijak dan ditendang sebelum suspek meninggalkan kawasan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain