SEJAK beberapa hari lalu media sosial hangat memperkatakan tentang sikap seorang peniaga di sebuah gerai ikan bakar di Perlis yang didakwa biadab terhadap pelanggan. Susulan itu, seorang lelaki yang mendakwa sebagai anak kepada peniaga itu tampil memberi penjelasan dan menceritakan mengenai insiden yang berlaku. Mengaku anak sulung kepada wanita itu, dia memberitahu insiden tercetus ketika kedai makan tersebut menerima jumlah pelanggan yang ramai. Peniaga tersebut turut memaki pelanggan. Ketika itu katanya, pelanggan wanita yang menularkan video ibunya bercakap kasar itu mahu membuat bayaran secara dalam talian menerusi kaedah pindahan atau transfer. “Dia nak buat bayaran secara transfer, pada masa sama di depan ada ramai pelanggan. Sementara dia nak transfer, ibu saya pun buat la kerja lain dulu. “Apabila dah siap transfer, dia tunjuk resit bayaran dan ibu saya cakap okay dan dia pun beredar,” tulisnya menerusi satu perkongsian di laman sosial. ARTIKEL BERKAITAN: “Muka hang jahanam!” - Kecoh peniaga ikan bakar di Perlis campak duit... Rupanya dah lama orang bagi ‘rating’ 1 bintang dalam Google Namun dia mendakwa, pelanggan tersebut kembali ke kaunter dan menegur ibunya. “Dia cakap layan pelanggan bagi elok sikit, cakap dengan nada yang tinggi. Daripada situlah terjadi (kekecohan),” ceritanya lagi. Walau bagaimanapun anak peniaga itu membuat permohonan maaf secara terbuka berhubung kejadian yang berlaku melibatkan ibunya. “Ramai nak penjelasan daripada kami, saya sebagai anak sulung bertanggungjawab dengan apa yang berlaku. Saya tahu banyak kekurangan diri saya dan juga staf. “Apa yang berlaku dijadikan pengajaran buat saya dan ibu serta staf,” katanya. Review pelanggan terhadap servis di gerai berkenaan. Menurutnya lagi, dia tidak membuat penjelasan dari awal kerana enggan memburukkan keadaan, sambil menambah mengakui kesilapan yang berlaku. “Saya tahu banyak kesalahan dan kekurangan kami, saya buat posting ini bukan nak cakap saya betul atau tak. Saya buat untuk selesaikan masalah dan juga memohon maaf secara terbuka kepada semua. “Saya wakil ibu saya, kalau layanan saya dan staf kurang memuaskan, saya mohon maaf. Insya-Allah saya akan perbaiki,” katanya lagi. Terdahulu, seorang pelanggan wanita meluahkan rasa kesal dan bertindak menegur peniaga di kedai berkenaan agar melayan pelanggan dengan baik. Berang ditegur, wanita itu datang ke arah sekumpulan pelanggan di meja makan dan mencampakkan duit sebelum menengking mereka. “Hang anak dara lagi buat perangai elok-elok sikit. Hang bayar RM8 dekat aku, hang nak cakap lebih kurang. “Setakat RM8 hang ni aku tak hairan, pelanggan aku ramai lagi. Hang cakap elok aku bagi elok, hang cakap tak elok muka hang jahanam,” kata peniaga tersebut dengan nada menengking. Susulan video yang tular, nampaknya bukan wanita berkenaan dan rakan-rakannya mengalami nasib seperti itu kerana gerai tersebut menerima review rendah menerusi semakan di enjin carian Google. Kebanyakan maklum balas negatif sejak beberapa bulan lalu tertumpu kepada sikap dan layanan peniaga termasuk servis yang kurang memuaskan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube