suria

Kenal sehari dah 'dating' tepi pantai... Remaja perempuan akhirnya dirogol dua Rohingya, dijumpai merayau di taman permainan

Jenayah rogol melibatkan remaja bawah umur sering direkodkan polis. -Gambar hiasan The Star

SEORANG remaja lelaki Rohingya berusia 14 tahun antara dua suspek yang ditahan berhubung dakwaan merogol seorang gadis bawah umur di Melaka.

Ketua Polis negeri, Datuk Zainol Samah berkata, seorang lagi suspek adalah lelaki berusia 27 tahun, juga warga Rohingya.

Tangkapan dibuat berikutan laporan polis yang dibuat oleh abang mangsa di balai polis Batang Tiga pada 15 September.

Mangsa, katanya, merupakan pelajar sekolah menengah berusia 15 tahun.

“Laporan itu dibuat oleh abang mangsa berusia 22 tahun dengan mendakwa adiknya dirogol selepas hilang dari rumah pada pukul 2 petang pada 14 September.

“Pemeriksaan perubatan oleh Hospital Melaka juga mengesahkan koyakan baru di selaput dara mangsa,” katanya pada Rabu.

Zainol berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa mula berkawan dengan suspek yang lebih muda melalui WhatsApp pada 13 September.

Beliau berkata, suspek remaja itu menjemput mangsa dan kemudian membawa mangsa menaiki motosikal untuk berjumpa seorang lagi suspek di sebuah restoran di Klebang pada 14 September lepas.

“Kedua-duanya kemudian membawa mangsa ke pantai berhampiran menaiki kereta yang dipandu suspek sebelum dakwaan rogol berlaku.

“Mangsa kemudiannya dibawa ke taman permainan di Batu Berendam pada hari yang sama sebelum ditinggalkan di situ,” katanya.

Zainol berkata, mangsa ditemui kira-kira pukul 2 pagi pada 15 September ketika merayau-rayau di taman permainan oleh rakan abangnya yang membantu mencari sebelum laporan polis dibuat.

Beliau berkata suspek remaja itu tidak bersekolah manakala seorang lagi bekerja sendiri.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 376 Kanun Keseksaan kerana merogol, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebat jika sabit kesalahan.

Difahamkan, kedua-dua suspek adalah pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR). - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain