PENGUNJUNG di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka gempar dengan penemuan mayat seorang wanita sekitar pukul 8 pagi, Ahad. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner (ACP) Christopher Patit berkata selepas pemeriksaan dilakukan pihaknya tidak menemui sebarang dokumen pengenalan namun percaya si mati berusia lewat 20-an. “Kita sedang mengenal pasti identiti mangsa melalui cap jari, namun kita percaya si mati merupakan warga tempatan berdasarkan tanda suntikan Bacillus Calmette Gurrain (BCG). “Pemeriksaan lanjut terhadap tubuh si mati tidak menemukan sebarang kesan kecederaan mahu pun unsur jenayah berlaku,” katanya kepada pemberita. Tambahnya, mayat terdampar di tepi pantai dalam keadaan tertiarap dengan separuh badan tertimbus di dalam pasir dan mangsa dipercayai meninggal dunia beberapa jam sebelum ditemukan. Mayat telah dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk proses bedah siasat dan setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut. “Kita minta mana-mana individu yang melihat kejadian untuk tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan,” katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube