suria

Beri ucapan 'sweet' di majlis resepsi, Musa Hassan nasihat Qistina jadi isteri taat

Musa berkahwin dengan seorang wanita dikenali sebagai Qistina Lim.

TAN Sri Musa Hassan menyatakan kesyukuran kerana isterinya diberikan hidayah untuk memeluk Islam walaupun tempoh perkenalan mereka yang singkat.

Bekas Ketua Polis Negara itu berkata, dia juga berterima kasih kepada keluarga kedua-dua belah pihak yang merestui hubungannya dengan pasangan pilihan hati, Nur Qistina Lim sehingga selamat disatukan sebagai suami isteri.

"Ia adalah berkat sokongan, doa serta restu semua pihak khusus kepada ahli keluarga kedua-dua belah pihak.

"Saya sungguh bersyukur kepada Allah kerana melalui perkenalan singkat ini telah memberi hidayah kepada isteri saya untuk memeluk agama Islam serta mendapat sokongan daripada kedua-dua ibu bapanya yang merestui hubungan kami," katanya ketika menyampaikan ucapan di pentas sambil ditemani isteri di sisi.

Pasangan pengantin itu dilihat sama cantik sama padan mengenakan busana berwarna putih dengan Qistina memakai gaun kembang.

Musa dalam ucapannya juga sempat menitipkan kata-kata nasihat kepada Qistina supaya menjadi isteri yang taat kepada suami.

ARTIKEL BERKAITAN: Musa Hassan naik pelamin lagi, kini bergelar suami kepada Qistina Lim

Bukan itu saja, dia turut mengucapkan terima kasih kepada anak-anak, adik-beradik dan ahli keluarganya kerana menerima Qistina sebagai ibu dan ahli keluarga baharu walaupun wanita itu berlainan agama dan bangsa.

Musa juga menzahirkan penghargaan kepada tetamu serta memohon maaf kepada nama-mana individu yang terguris hati tidak dijemput hadir bagi meraikan hari bahagianya itu.

Pada majlis itu Musa turut memberi ucapan sama dalam bahasa Inggeris sebagai tanda menghormati tetamu yang tidak memahami ucapannya dalam bahasa Melayu.

Pendakwah selebriti, Tuan Asmawi (kanan) dan isteri (kiri) antara jemputan yang hadir memeriahkan majlis.

Majlis perkahwinan berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor, Sabtu malam dengan dihadiri ramai jemputan terdiri daripada tetamu VIP, sanak saudara dan sahabat.

Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kali ketiga Musa yang mana isteri pertamanya, Juriah Ahmad meninggal dunia pada 2 Mei 2019.

Musa kemudiannya berkahwin buat kali kedua dengan Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42, yang memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah pada 30 Mac lalu.

Permohonan cerai itu difailkan kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan dengan Musa yang dikahwininya 10 tahun lalu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain