suria

Seorang maut, van bawa pelancong Singapura jatuh cerun di Balik Pulau

Keadaan van persiaran yang terbabas dan terjunam dari Bukit Genting. -Gambar ihsan JBPM

SEORANG wanita warga Singapura dilaporkan maut selepas van persiaran yang dinaikinya terbabas dan terjunam dari Bukit Genting, Balik Pulau di Pulau Pinang.

Difahamkan, van persiaran tersebut membawa sekumpulan pelancong dari negara itu.

Menurut Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden berkenaan pada jam 8.14 malam, Ahad.

Sebaik tiba, anggota mendapati van yang membawa 10 pelancong dari Singapura terbabas lalu jatuh ke dalam gaung sedalam kira-kira enam meter (20 kaki).

"Terdapat 11 orang mangsa di dalam van berkenaan dan kerja-kerja menyelamat mangsa dilakukan oleh beberapa PBS (Pasukan Bomba Sukarelawan) berdekatan," katanya.

Mangsa yang cedera terdiri daripada tujuh wanita dan tiga lelaki, termasuk seorang pemandu van warga tempatan.

Kesemua mereka dihantar ke Hospital Balik Pulau dan Hospital Pulau Pinang untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Operasi menyelamat dilakukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Balik Pulau dan BBP Balik Pulau.

Katanya, maklumat lanjut berhubung status mangsa akan dikemas kini dari masa ke semasa.

Difahamkan, kesemua mangsa dikatakan berada di situ untuk menikmati makan malam di sebuah restoran di puncak bukit terbabit dan kejadian dikatakan berlaku semasa van berkenaan turun dari bukit.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain