suria

Suami cemburu tikam jururawat sampai mati, mayat dibungkus selimut tebal

Perasaan cemburu antara faktor yang mengakibat perbuatan jenayah. -Gambar hiasan The Star

ANGKARA cemburu, seorang jururawat maut ditikam suaminya menggunakan sebilah pisau.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Jalan Padang Nyu di Arau, pada pagi Sabtu.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md Rodi berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 6 pagi sewaktu mangsa berusia 31 tahun mahu keluar bekerja.

Menurut beliau, suspek berusia 38 tahun bergaduh dengan mangsa di ruang tamu rumah dipercayai akibat cemburu kerana mengesyaki isterinya berlaku curang.

“Semasa pergaduhan, suspek bertindak menikam mangsa dengan sebilah pisau di bahagian dada sebelah kiri

"Suspek kemudian menghantar anak-anak berusia lapan dan 10 tahun ke rumah pengasuh, sebelum menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perlis pada kira-kira pukul 10 pagi,” katanya.

Susulan itu, polis melakukan siasatan dan menemukan mangsa dalam keadaan berlumuran darah yang ditutup dengan selimut tebal di bilik tidur utama di rumah berkenaan.

"Turut ditemui adalah satu kesan tikaman pada bahagian dada kiri mangsa sepanjang kira-kira dua sentimeter,” kata Ahmad Mohsin.

Mayat mangsa dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Alor Setar, Kedah untuk bedah siasat.

Suspek mempunyai kes jenayah lampau berkaitan dadah dan ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Permohonan reman ke atas suspek di Kompleks Mahkamah Kangar akan dikemukakan pada Ahad.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain