suria

Nahas dua kenderaan, pemandu warga emas maut tersepit di tempat duduk... 12 lagi cedera termasuk kanak-kanak lelaki

Keadaan kemalangan di Jalan Gerik-Baling awal pagi Isnin. -Gambar Ihsan JBPM Perak

TRAGIS. Seorang warga emas maut akibat tersepit di tempat duduk selepas kereta yang dipandunya terlibat dalam kemalangan membabitkan dua kenderaan di Jalan Gerik-Baling dekat Gerik, Perak, awal pagi Isnin.

Kemalangan yang berlaku itu turut mengakibatkan 12 lagi mangsa cedera termasuk seorang kanak-kanak lelaki yang disahkan parah.

Mangsa maut dikenali Hasan Hamid, 60, merupakan pemandu kereta jenis Perodua Kenari.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, kemalangan yang melibatkan van Toyota Hiace itu diterima Balai Bomba dan Penyelamat Gerik pada jam 2.32 pagi.

"Mangsa yang tersepit dalam kenderaan telah disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan," katanya.

Menurutnya, seorang kanak-kanak lelaki yang menaiki kenderaan bersama mangsa turut mengalami cedera parah manakala 11 lagi pemandu serta penumpang van dilaporkan cedera.

"Operasi mengeluarkan mangsa dilakukan menggunakan peralatan keselamatan dengan mereka yang cedera dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut manakala yang maut diserahkan kepada polis," katanya.

Tambahnya, operasi tamat pada jam 5.51 pagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain