SERANGAN tentera rejim zionis Israel terus meragut nyawa mereka yang tidak berdosa. Terbaharu, seorang rakyat Palestin yang merupakan calon Doktor Falsafah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Nilai, Negeri Sembilan terkorban selepas kediamannya dibom tentera Israel. Dalam serangan tentera Israel di Gaza pada pagi Ahad, turut terbunuh adalah isteri mangsa yang juga merupakan penuntut di USIM dan empat anak mereka. USIM dalam satu kenyataan turut berdukacita dengan pemergian Dr Mohammed J. H. Alzaanin dan keluarganya. "Mohammed J. H. Alzaanin, merupakan calon Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia dan isterinya, Kholoud M. H. Elzaneen pelajar Program Sarjana Sains (Mod Penyelidikan), Fakulti Sains dan Teknologi USIM. "Mereka terkorban dalam serangan bom yang berlaku di perkampungan mereka di Bait Hanon kira-kira pukul 8 pagi. "Turut terkorban adalah empat anak mangsa, hanya seorang anak mangsa dilaporkan terselamat," katanya menerusi hantaran di Facebook. Mohammed J. H. Alzaanin (dua, kanan) dan isteri serta anak-anaknya bersama warga USIM. -Gambar USIM Berita pemergian itu disahkan oleh Presiden Kesatuan Umum Pelajar Palestin di Malaysia, Ammar H. M. Mahariq. Selain itu, 20 ahli keluarga mangsa juga terbunuh dalam serangan bom oleh rejim Zionis di Gaza. Mohammed J. H. Alzaanin baru selesai menjalani sesi viva-voce di USIM pada 5 Julai lalu manakala isterinya dijadualkan menduduki ujian viva-voce pada 23 Oktober ini. Dalam satu hantaran di Facebook oleh Pengurus Besar MyCARE Gaza, Dr Ziad Shehada, dilaporkan Mohammed J. H. Alzaanin baru menamatkan pengajian beberapa minggu lalu. "Beberapa minggu lalu, beliau menamatkan PhD di USIM dan pulang ke Gaza. "Malam tadi rumahnya dibom, 20 ahli keluarganya terbunuh termasuk dirinya, isteri dan anak-anaknya. Innalillahi wainna ilaihi rajiun,” kata Ziad. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube