BUKAN sahaja tangkas, seorang pegawai polis juga sanggup menggadai nyawa demi menahan suspek dipercayai tokan dadah di Jalan Sri Sarawak 14, Taman Sri Andalas di Klang Selangor pada Sabtu. Mana tidaknya, dia yang terjatuh dari ketinggian enam meter turut mengejar dan memberkas suspek berkenaan yang cuba melarikan diri dari atas bumbung di aras empat. Susulan daripada itu, dia mengalami kecederaan di beberapa anggota badan. Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, Inspektor Mohammad Azrin Yazid yang bertugas di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan itu terjatuh dari tingkat empat ketika mengetuai serbuan di sebuah rumah di Klang pukul 5.30 petang. Menurutnya, Mohammad Azrin cuba masuk ke dalam rumah berkenaan menerusi bumbung berikutan pintu dan pagar premis yang berkunci sebelum terserempak dengan suspek yang cuba melarikan diri. "Pegawai berkenaan memanjat ke bumbung bahagian hadapan dari tingkat tiga dan mendapati suspek sedang berlari ke bumbung rumah bersebelahan. "Semasa mengejar suspek, batang paip yang dipegang Mohammad Azrin patah menyebabkan dia terjatuh dari tingkat empat ke tingkat dua pada ketinggian enam meter," katanya dalam kenyataan pada Isnin. Katanya, Mohammad Azrin lantas bangun dan terus mengejar suspek terbabit dan berjaya menahannya di kawasan koridor premis berkenaan. "Pemeriksaan ke atas suspek menemui bahan disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 104 gram (g) di dalam dua paket lutsinar. Beliau berkata, Mohammad Azrin kemudian mengadu mengalami kesakitan di beberapa bahagian badan dan dibawa ke klinik sebelum dirujuk ke hospital. "Tiba-tiba Mohammad Azrin berasa sakit pada bahagian badan, kaki, tangan dan leher dan dibawa ke sebuah klinik untuk mendapatkan rawatan sebelum dirujuk ke Hospital Pantai Klang, di sini. "Jam 12.01 tengah malam semalam Mohammad Azrin dimasukkan ke unit kecemasan di Hospital Pantai Klang bagi menerima rawatan. "Pembedahan pada bahagian kaki Mohammad Azrin sudah selesai dijalankan dan kini berada dalam keadaan stabil," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube