PESERTA kejohanan triathlon Ironman Langkawi Malaysia, Muhaini Mahmud, 44, meninggal dunia di Hospital Sultanah Maliha (HSM), Langkawi, Kedah, petang Ahad. Muhaini yang juga pengasas bersama platform penyediaan perkhidmatan penjagaan bayi, Kiddocare Sdn Bhd, dikejarkan ke HSM selepas hampir lemas ketika mengambil bahagian dalam disiplin renang pada pagi tersebut. Allahyarhamah yang lebih dikenali sebagai Mui, kemudian dilaporkan berada dalam keadaan kritikal dan ditidurkan ketika menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU). Berita kematian Muhaini turut dikongsikan sahabatnya, Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid yang juga anak Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, di laman sosial. "Innalillahiwainnailaihirojiun. See you when I see you Mui. "Saya kehilangan seorang sahabat baik yang tak pernah terlupa ucapkan 'Selamat Hari Jadi' setiap tahun. Hari jadi saya (tahun ni) hanya lagi dua minggu! "Kita kan dah janji nak makan-makan untuk raikan 45 tahun pencapaian hebat (hot) kita. Allah lebih sayangkan kamu, Mui. Semoga kamu berehat dengan tenang di taman-taman syurga, kesayangan kami Mui," tulisnya. Hantaran mengenai perkhabaran duka yang dibuat Nurulhidayah mengenai sahabatnya turut mendapat respons orang ramai yang menitipkan doa buat arwah. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari, mengesahkan Allahyarhamah meninggal dunia di HSM pada petang Ahad. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube