suria

Khuatir aktivis politik salah guna platform agama, Mais perjelas penarikan balik tauliah Abdullah Khairi

Mais menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada Ustaz Abdullah Khairi, berkuat kuasa pada 27 September lalu.

KEPUTUSAN Jawatankuasa Tauliah Majlis Agama Islam Selangor (Mais) yang menarik balik tauliah mengajar agama Islam melibatkan penceramah, Ustaz Abdullah Khairi Haroon adalah selaras dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Pengerusi Mais, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof dalam kenyataannya pada Sabtu berkata, titah tersebut adalah berhubung pemberian tauliah mengajar agama Islam kepada mana-mana aktivis politik.

ARTIKEL BERKAITAN: Selangor tarik balik tauliah mengajar agama aktivis politik berkuat kuasa 31 Disember

"Tindakan penarikan balik tauliah ini dibuat mengikut Peraturan-Peraturan Tauliah (Negeri Selangor) 2008 dan pemegang tauliah yang terkesan diberi ruang untuk membuat rayuan kepada Mais.

"Mais menyeru semua pihak agar tidak mempolitikkan isu penarikan balik tauliah mengajar agama Islam dan menghormati titah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor yang tidak memperkenan tauliah mengajar agama Islam diberikan kepada mana-mana aktivis politik.

"Ini kerana ia dikhuatiri boleh disalahgunakan untuk kepentingan mana-mana parti politik yang akhirnya akan membawa kepada fitnah, perselisihan dan perpecahan umat Islam di Selangor serta mencemarkan agama Islam," katanya.

Terdahulu media melaporkan Mais menarik balik tauliah mengajar agama Islam yang diberikan kepada Ustaz Abdullah Khairi, berkuat kuasa pada 27 September lalu berdasarkan perkongsian penceramah tersebut di platform media sosialnya.

Di dalam perkongsian tersebut, Ustaz Abdullah Khairi turut memuat naik surat yang diterimanya daripada Mais.

Sementara itu dalam perkembangan lain, Abdul Aziz berkata, pihaknya menghormati keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 5 Oktober lepas yang memutuskan pembatalan penarikan balik tauliah mengajar agama Islam terhadap penceramah, Ustaz Ahmad Dusuki Abdul Rani yang telah dikeluarkan oleh Mais.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain