suria

Najis tikus, lipas dalam kedai makan! Tiga premis makanan di Bukit Jambul diarah tutup

Operasi yang dijalankan di sekitar Bukit Jambul, Pulau Pinang. -Gambar MBPP

TIGA premis makanan di Bukit Jambul, Pulau Pinang, diarah tutup sementara selama 14 hari oleh Jabatan Perlesenan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), berikutan pelbagai kesalahan.

Penutupan itu susulan pelaksanaan tindakan penguatkuasaan terhadap premis yang tidak mematuhi syarat lesen dan gagal memiliki lesen sah di kawasan pentadbiran MBPP.

Ketika membuat pemeriksaan ke atas premis, pihak berkuasa menemukan najis tikus, lipas selain perangkap minyak tidak diselenggara manakala pekerja gagal mendapatkan suntikan anti tifoid.

Selain itu, terdapat kesalahan lain iaitu tidak memiliki lesen sah MBPP bagi menjalankan perniagaan dan meletak peralatan perniagaan hingga mendatangkan halangan di laluan pejalan kaki.

Dalam kenyataan di Facebook, MBPP memaklumkan operasi berkenaan membabitkan pemeriksaan sebanyak lima premis makanan dan lima gerai penjaja di kawasan sekitar Bukit Jambul.

Tambahnya, sebanyak tiga premis makanan diperintah tutup serta-merta bagi tempoh selama 14 hari berkuatkuasa Jumaat sehingga 19 Oktober ini manakala tindakan rampasan terhadap dua premis makanan dan dua penjaja.

"Sebanyak tiga premis dikompaun dan notis dikeluarkan menerusi operasi berkenaan," kata kenyataan itu lagi.

MBPP berkata tindakan pemantauan dan penguatkuasaan tegas Jabatan Pelesenan MBPP akan dilaksana daripada semasa ke semasa bagi memastikan semua pengusaha makanan atau premis perniagaan mematuhi peraturan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain