suria

Remaja 14 tahun antara sindiket judi online kaut RM13 juta sebulan

Sindiket judi atas talian menyasarkan warga asing dan tempatan. -Gambar hiasan The Star

REMAJA 14 tahun antara tujuh individu yang ditahan terlibat sindiket penipuan dalam talian yang mengaut keuntungan RM13 juta sebulan.

Kegiatan mereka terbongkar selepas polis membuat serbuan di dua kediaman kondominium di Salak Selatan, Cheras di Kuala Lumpur pada Khamis.

Ketua Polis Daerah Cheras Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pihaknya membuat serbuan di dua premis berkenaan yang dijadikan sebagai pusat panggilan bagi kegiatan penipuan dalam talian kira-kira jam 1 petang.

"Dalam serbuan itu, seramai tujuh lelaki tempatan berusia antara 14 hingga 40 tahun ditahan kerana dipercayai terbabit dalam kegiatan penipuan judi dalam talian.

"Remaja berusia 14 tahun yang ditahan dalam serbuan itu didapati bekerja di pusat panggilan berkenaan dan tidak bersekolah.

"Kami turut merampas 14 monitor, tujuh unit pemprosesan komputer (CPU), 18 telefon bimbit pelbagai jenama dan tiga modem," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Zam Halim berkata, siasatan awal dilakukan mendapati premis itu digunakan untuk mempromosikan judi dalam talian yang menyasarkan individu tempatan dan warga asing.

"Transaksi kemasukan kredit bagi sindiket perjudian itu dianggarkan sekitar RM13 juta sebulan sejak mula beroperasi sejak April lalu.

"Semua individu ditahan direman selama empat hari bermula 6 Oktober hingga 9 Oktober ini untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 120(B)/420 Kanun Keseksaan dan Seksyen 4(1)(c) Akta Rumah Judi Terbuka 1953," katanya.

Beliau menyeru orang ramai supaya menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti mencurigakan membabitkan sindiket sedemikian kepada pihak polis.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain