suria

Bapa berdepan penjara 30 tahun, 10 sebatan mengaku tidak bersalah rogol anak kandung... 7 November sebutan semula kes

Kanak-kanak sering menjadi mangsa amang seksual. -Gambar hiasan The Star

SEORANG bapa berdepan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan sebatan tidak kurang 10 sebat bagi pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan kerana merogol dan melakukan amang seksual terhadap anak perempuan selama empat tahun.

Pun begitu tertuduh yang merupakan pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, Terengganu pada Khamis.

Dia yang berusia 42 tahun membuat pengakuan itu sebelum mohon dibicarakan selepas empat pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Nazlyza Mohamad Nazri.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa.

Bagi pertuduhan ketiga dan keempat, tertuduh didakwa merogol mangsa.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh terhadap mangsa yang ketika itu berusia lapan tahun hingga 11 tahun di sebuah rumah di daerah Marang antara pertengahan 2018 hingga pertengahan 2021.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) dan Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama Seksyen 16 (1) akta yang sama serta Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.

Bagi pertuduhan mengikut Seksyen 14 (a) dan 14 (b), tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan tidak bersalah tertuduh direkodkan, mahkamah menetapkan 7 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan tiada sebarang jaminan ditawarkan kepada tertuduh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Intan Nor Hilwani Mat Rifin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain