suria

Lega adik mula isi perut, boleh makan bubur... Abang syukur Allah tunjuk keajaiban - “Doakan Baby doll cepat sembuh”

Keadaan terkini remaja bernama Abdullah seperti dikongsikan abangnya di TikTok.

SATU-SATUNYA mangsa yang terselamat dalam kemalangan meragut nyawa ibu bapa dan empat lagi adik-beradiknya di Kilometer 5, Jalan Segamat-Kuantan pada 1 September lalu menunjukkan perkembangan positif.

Perkara itu dimaklumkan oleh abangnya Abdur Rahman, 19, yang berkongsi perkembangan terkini adiknya Abdullah, 15 menerusi hantaran di TikTok.

"Alhamdulillah, satu lagi miracle (keajaiban) Allah tunjuk. Baby doll (Abdullah) dan mula makan bubur dan semalam dia dah mula isi perut yang kurus 'keding'," katanya.

Rahman juga buat pertama kali berkongsi gambar Abdullah berbaju jersey kuning dalam keadaan berbaring di atas katil dan minum susu.

"Doakan Baby doll semoga cepat sembuh. September yang penuh dengan kenangan mengusik jiwa," katanya menerusi TikTok.

Keadaan adik yang dikongsikan Rahman di TikTok.

Sementara itu, Abdur Rahman turut meluahkan isi hati susulan tragedi menyayat hati yang menyebabkan dia bersama Abdullah menjadi yatim piatu.

"Kata orang, hilangnya ibu maka hilanglah satu kunci makbul doa. Kata orang, hilangnya ayah, maka hilanglah contoh orang yang tak pernah berhenti bekerja demi keselesaan keluarga.

ARTIKEL BERKAITAN: Treler tak sempat break, langgar kereta depan... Ini identiti 6 sekeluarga maut tragedi kemalangan Segamat

"Hilangnya adik-beradik, maka hilanglah tempat untuk kita bertekak. Tapi jangan risau doa abang dengan Du'o (panggilan manja Abdullah) tidak akan hilang untuk kamu semua. 1 September 2023, ibu, abi, kakak, seri kak cik, awie sudah balik dulu (meninggal dunia)," tulisnya.

Sebelum ini, Abdur Rahman memberitahu, adiknya menjalani pembedahan memasukkan besi di tangan kiri, tidak bertutur dengan jelas kerana rahangnya patah.

Enam sekeluarga terlibat dalam kemalangan jalan raya dirempuh treler dalam kejadian 1 September.

Untuk rekod, kemalangan ngeri pada pukul 6.30 petang pada 1 September lalu meragut enam nyawa setelah kereta Perodua Alza yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori.

Kemalangan itu mengorbankan ibu bapa Abdur Rahman dan Abdullah iaitu Amir Ruddin Ismail, 46, dan Noorahimah Noor Muhamad, 43.

Empat adik-beradik mereka yang terkorban ialah Fatimatulzahrah, 17; Seri Khadijah Aqilah, 13; Rufaidatul Asyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Ia berlaku ketika mereka sekeluarga dalam perjalanan dari Kluang, Johor menghantar Noorahimah yang mengajar di Sekolah Agama Kemedak dekat Segamat.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain