EMPAT sekeluarga yang dilaporkan hilang sewaktu bercuti di Pulau Perhentian di Besut, Terengganu pada hujung minggu lalu, selamat dijumpai. Perkara itu dimaklumkan oleh ahli keluarga menerusi satu hantaran Facebook pada petang, Selasa. "Alhamdulillah ibu mentua, adik ipar lelaki dan dua anak saya selamat dijumpai. "Terima kasih kepada semua rakan, pihak polis dan semua yang terlibat membantu kes ini sehingga selesai. "Sekarang saya masih dalam perjalanan dari Terengganu pulang ke Kluang, Johor untuk tarik laporan (polis). Kes sudah selesai," tulisnya. Setakat ini, belum ada kenyataan rasmi daripada pihak polis berhubung perkembangan terbaharu itu. Terdahulu, dilaporkan empat sekeluarga, iaitu seorang wanita, anak lelaki dan dua cucunya dikhuatiri hilang selepas gagal dihubungi selepas bercuti di Pulau Perhentian, pada hujung minggu lalu. Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohamad dalam satu kenyataan berkata, wanita yang dikenali sebagai Suraidah Abdul Ghani, 52, dari Kluang dan ahli keluarga dikesan keluar dari pulau peranginan itu. Suraidah bercuti bersama anaknya berusia 21 tahun, serta dua cucu masing-masing berumur tujuh dan empat tahun. Pihak polis menerima laporan mengenai kehilangan pada Isnin selepas kesemua mereka tidak dapat dihubungi. "Kesemua mangsa pergi ke Pulau Perhentian pada 29 September lalu dan menginap di sebuah resort serta telah mendaftar keluar pada 1 Oktober (Ahad) pada pukul 8 pagi. "Siasatan juga mendapati kesemua mangsa mengikuti aktiviti snorkeling pada 29 dan 30 September. Pengendali bot memaklumkan telefon ibu dan adik pengadu terkena air dan tidak dapat dihidupkan," ujarnya. Abdul Rozak berkata, mangsa memaklumkan mengenai rancangan mereka untuk ke Batu Buruk, Kuala Terengganu setelah keluar dari Pulau Perhentian. Tambah beliau, keempat-empat mangsa menaiki bot kira-kira pukul 8 pagi dan tiba di jeti di Kuala Besut, kira-kira pukul 9 pagi pada 1 Oktober. "Semakan kamera litar tertutup (CCTV) mendapati kenderaan yang digunakan mangsa keluar dari pekan Kuala Besut menuju ke arah Jambatan Kastam, pada 1 Oktober kira-kira pukul 10.06 pagi," katanya sambil menambah mangsa menggunakan kenderaan jenis proton Saga BLM berwarna biru. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube