MENABUNG merupakan amalan mulia. Seiring dengan pepatah itu, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) melancarkan Bulan Menabung Simpan SSPN (BMS) 2023 sebagai usaha memupuk budaya menabung dalam masyarakat. BMS merupakan program tahunan anjuran PTPTN sejak 2018 yang bertujuan untuk menggalakkan amalan penabungan, di samping mempromosikan Simpan SSPN sebagai produk simpanan pilihan utama masyarakat. Tahun ini, BMS membawa kelainan berbanding tahun sebelumnya apabila buat julung kalinya dilaksanakan menerusi konsep jelajah merentasi 14 negeri di lokasi terpilih seluruh Malaysia, bermula 1 Oktober hingga 31 Oktober 2023. Norliza (dua, kanan) menyampaikan sijil penghargaan kepada salah satu rakan strategik BMS 2023. BMS 2023 yang dilancarkan pada Ahad, bersempena dengan Sambutan Hari Tabungan Sedunia yang disambut pada 31 Oktober setiap tahun. Pengerusi PTPTN, Datuk Norliza Abdul Rahim berkata, sepanjang usia 26 tahun PTPTN, agensi tersebut terus komited untuk menyediakan kemudahan pinjaman, menguruskan bayaran balik serta membudayakan amalan penabungan. “Matlamat utama PTPTN adalah untuk memastikan tiada pelajar yang tercicir melanjutkan pengajian ke menara gading disebabkan oleh masalah kewangan,” katanya. Majlis perasmian BMS 2023 turut dihadiri Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian dan Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid. BMS 2023 juga merupakan usaha PTPTN bagi memastikan setiap ibu bapa menjadi adiwira atau ‘superhero’ dengan mempunyai perancangan kewangan jitu untuk pendidikan tinggi anak-anak, sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan masyarakat kepada pinjaman. Pemenang Cabutan WOW! Syoknya Raya, Mohd Yazeed Othman menerima hadiah wang tunai bernilai RM2,023. Norliza berkata, berdasarkan kaji selidik oleh jaringan pendidikan kewangan (FEN), sebanyak 84 peratus masyarakat di negara ini mengakui tidak mempunyai simpanan tetap setiap bulan. “Mereka hanya menyimpan secara tetap untuk jangka pendek dan kebiasaannya simpanan itu akan dikeluarkan semula pada hujung bulan bagi menampung perbelanjaan harian. “Jika amalan ini berterusan, masalah kewangan dalam kalangan masyarakat akan meningkat dan boleh menjejaskan impian anak-anak untuk melanjutkan pengajian. Ia sekali gus memberi kesan kepada kehidupan mereka. “Melalui Simpan SSPN, PTPTN berharap ia dapat mentransformasi minda masyarakat daripada meminjam kepada menyimpan, demi mengelakkan anak-anak dibelenggu hutang apabila tamat pengajian nanti,” ujarnya. Norliza (dua, kanan) menyampaikan replika kad kepada pemenang Cabutan WOW! Syoknya Raya. Dalam pada itu, BMS 2023 bertemakan ‘Robotik: Ke arah Transformasi Dunia Pendigitalan’ dengan mengekalkan tagline Jom Jadi Superhero Anak Anda. Menurut Norliza, konsep tersebut amat signifikan kerana sains dan teknologi robot berkait rapat dengan kemajuan dan memerlukan pengetahuan tentang teknologi terkini. “Ini selari dengan agenda pendigitalan PTPTN yang memberi fokus kepada usaha menggalakkan penggunaan aplikasi myPTPTN kepada para peminjam dan pendeposit Simpan SSPN untuk urusan yang lebih mudah, cepat dan selamat,” katanya. Sepanjang tempoh 19 tahun Simpan SSPN diperkenalkan, Norliza memberitahu bahawa pencapaian deposit Simpan SSPN sentiasa menunjukkan peningkatan ketara setiap tahun. Buktinya, sehingga 31 Ogos 2023, jumlah deposit Simpan SSPN yang diterima adalah RM15.81 bilion dengan bilangan akaun berjumlah 6.04 juta akaun. “Prestasi ini membuktikan Simpan SSPN terus cemerlang sebagai produk simpanan terbaik pilihan ibu bapa di negara ini. “Berdasarkan kutipan deposit yang memberangsangkan dalam tempoh lima tahun penganjuran BMS, saya optimis BMS 2023 akan mendapat sambutan menggalakkan,” katanya. Juara Pertandingan Action Song Simpan SSPN 2023 membawa pulang hadiah wang tunai dalam bentuk akaun Simpan SSPN Prime bernilai RM3,750. Sehubungan itu beliau berkata pada tahun ini, PTPTN mensasarkan jumlah deposit Simpan SSPN bagi BMS 2023 sebanyak RM220 juta. “Saya yakin sasaran ini akan dapat dicapai dengan sokongan dan kerjasama pelbagai pihak serta strategi promosi yang dilaksanakan. “Kejayaan program BMS 2018 hingga 2022 adalah penanda aras terbaik kepada PTPTN bagi merealisasikan matlamat ini,” katanya lagi. Simpan SSPN menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat kepada masyarakat Malaysia seperti pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun. Ini termasuk perlindungan takaful ke atas pendeposit, dividen yang kompetitif, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, patuh syariah dan simpanan dijamin kerajaan. Untuk maklumat lanjut berkenaan BMS 2023, layari www.ptptn.gov.my/BMS2023 Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube