suria

Lawak jenaka berunsur lucah! Lelaki pun sering jadi mangsa, aduan meningkat sejak Julai

Lelaki juga tidak terkecuali daripada gangguan seksual. -Gambar hiasan The Star/Azhar Mahfof

PELIK tapi benar! Meskipun lelaki terkenal dengan sikap dominan namun mereka juga tidak terkecuali berhadapan ancaman gangguan seksual.

Malah berdasarkan laporan yang diterima, terdapat peningkatan aduan daripada golongan berkenaan.

Menurut Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, daripada lebih 750 kes yang dilaporkan antara Julai dan awal Oktober, sebanyak 197 kes adalah daripada lelaki.

“Dari 6 Julai hingga 2 Oktober, terdapat 762 kes dilaporkan. Daripada angka itu, sebanyak 197 laporan dibuat oleh lelaki dan baki 565 laporan adalah wanita," katanya selepas menghadiri program Advokasi Anti Gangguan Seksual di Casuarina@Meru pada Khamis.

Tambah Nancy, sejak beberapa tahun lalu, kes dalam kalangan lelaki tidak begitu banyak kerana mereka mungkin takut dan malu.

Nancy hadir pada majlis pelancaran menghadiri program advokasi anti gangguan seksual di Meru Casuarina Ipoh. -Gambar The Star/Ronnie Chin

Nancy hadir pada majlis pelancaran menghadiri program advokasi anti gangguan seksual di Meru Casuarina Ipoh. -Gambar The Star/Ronnie Chin

Namun jumlahnya semakin meningkat dan iab berkemungkinan disebabkan program advokasi yang membantu lebih ramai mangsa untuk tampil dan bersuara.

Mendedahkan tentangnya, beliau berkata, kebanyakan aduan yang diterima adalah gangguan yang dibuat dalam bentuk jenaka.

Secara berasingan, beliau berkata akan ada sekurang-kurangnya 10 panel dalam Tribunal Anti Gangguan Seksual yang akan merangkumi seorang presiden, timbalan dan ahli.

“Ada dua bahagian yang perlu kita tangani terlebih dahulu iaitu soal pentadbiran dan perundangan.

"Memandangkan kami telah mendapat kelulusan untuk melantik ahli tribunal, kami sedang membincangkan aspek kewangan untuk mencadangkan kadar gaji bagi panel yang dilantik,” katanya.

Pada 29 Ogos, Nancy berkata mereka telah menyerahkan senarai lengkap nama untuk tribunal dan sedang menunggu kelulusan Jabatan Peguam Negara (AGC) kerana anggotanya adalah peguam.

Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840) diwartakan pada 18 Oktober tahun lepas selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong pada 8 Oktober.

Tribunal itu merupakan bahagian kritikal Akta Anti Gangguan Seksual 2022 (Akta 840), yang diluluskan oleh Parlimen pada Ogos dan diwartakan pada Oktober tahun lepas.

Tribunal akan membincangkan aduan gangguan seksual, dan menyediakan mekanisme bagi sesiapa yang telah diganggu secara seksual untuk mendapatkan ganti rugi.

Walaupun ketiadaan tribunal, kementerian mengumumkan bahawa beberapa seksyen Akta telah berkuat kuasa, termasuk Seksyen 1 – Tajuk Mudah dan Permulaan; (ii) Bahagian 2 – Tafsiran; (iii) Seksyen 24 – Pentadbir; (iv) Seksyen 25 – Fungsi dan kuasa pentadbir; dan (v) Seksyen 26 – Kuasa untuk membuat peraturan. - The Star

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain