SEORANG bayi perempuan berusia lapan bulan meninggal dunia selepas ditemukan tidak sedarkan diri di dalam kereta di tempat letak kenderaan, Hospital Canselor Tunku Muhriz (HCTM), Cheras, ibu negara pada Khamis. Difahamkan mangsa dibiarkan di dalam kenderaan selama kira-kira 10 jam sejak keluar rumah bersama ibunya yang juga doktor. Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Zam Halim Jamaluddin berkata, pada pukul 5.53 petang, Pegawai Perubatan HCTM Cheras menerima laporan tentang seorang bayi perempuan berusia lapan bulan ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri. Mangsa disahkan meninggal dunia pada hari sama. "Hasil siasatan awal mendapati, pada pukul 7.20 pagi, ibu mangsa meletakkan mangsa di bahagian belakang tempat duduk penumpang sebelah kiri di dalam keretanya untuk dihantar ke taska. "Bagaimanapun ibu mangsa terus memandu keretanya ke tempat kerja dengan anggapan bayi itu sudah dihantar ke taska," katanya dalam kenyataan pada Jumaat. ARTIKEL BERKAITAN: Ibu bapa sedap isi perut di open house, tinggal anak kembar dalam kereta... Aircond tutup, buka tingkap sikit elak sesak nafas Tambah Zam, wanita itu hanya menyedari mangsa masih berada di dalam keretanya pada petang hari sama selepas dimaklumkan oleh suaminya bahawa mangsa tidak dihantar ke taska. "Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut dan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001 iaitu pengabaian terhadap kanak-kanak. Orang ramai boleh menghubungi Hotline Polis Cheras di talian 03-9284 5050/ 50 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-2115 9999 atau mana-mana balai polis yang berdekatan sekiranya mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian ini. Sebelum ini, seorang individu yang dipercayai turut bertugas di hospital sama berkongsi kisah duka tersebut di laman X. "Berita sedih petang ni. Salah seorang MO (medical officer) dekat hospital datang kerja pagi. Petang baru sedar anak umur lapan bulan tertinggal dalam kereta dekat parkir. "Baby dah biru. Bawa ke kecemasan, CPR (bantuan pernafasan) semua. Bayi dah meninggal," tulisnya dalam ciapan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube