LELAKI warga asing ditahan selepas melakukan gangguan seksual terhadap pelajar perempuan berusia 14 tahun di sebuah pasar raya Sungai Buloh, Selangor, 18 September lalu. Perbuatannya didedahkan menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 33 saat dan ditularkan di media sosial hingga mengundang kemarahan ramai. Jelas kelihatan suspek berpura-pura mencapai barangan yang berada di rak selepas melakukan perbuatan itu. Kemudian, pelajar terbabit yang terkejut dengan tindakan suspek terus berlari memberitahu seorang wanita dipercayai ahli keluarganya. Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, laporan dibuat keluarga mangsa pada pukul 6 petang. “Kita terima laporan mengenai kejadian dan suspek yang merupakan warga asing itu juga telah ditahan sejurus selepas kejadian. “Kes disiasat di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Kanak-Kanak (AKSK) 2017,” katanya seperti dilaporkan Kosmo. Menurut Shafa’aton, suspek berusia 31 tahun itu dituduh di Mahkamah Klang pada 27 September lalu mengikut Seksyen 14(a) AKSK 2017. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube