suria

Empat tahun tunggu zuriat, wanita hamil 8 bulan meninggal dunia... Arwah mengadu penat, nak berehat sebelum akhirnya dijemput Ilahi

Difahamkan Nor Ezaty meninggal dunia akibat sesak nafas.

KEMATIAN seorang wanita yang sarat mengandung bersama kandungan berusia lapan bulan meruntun hati ramai.

Paling terkesan tentunya si suami yang cukup teruja menanti kehadiran orang baharu dalam keluarga, namun terpaksa berdepan ujian kehilangan dua insan tersayang serentak.

Menurut kakak ipar arwah, Allahyarham Nor Ezaty Abdul Latif meninggal dunia pada usia 26 tahun di kampung halaman mereka di Perak pada Selasa.

"Mereka balik kampung dekat Perak, sebelum itu bertolak dari Pahang. Dia cakap penat, nak rehat dekat rumah dulu sebab tak sedap badan selepas satu hari perjalanan.

"Suami dia pun urut dan tepuk-tepuk sikit dekat bahagian tengkuk dan lepas tu arwah cakap okey sikit. Kemudian, suami dia ada hubungi saya minta datang tengokkan isteri.

Ahli keluarga turut hadir sewaktu upacara pengurusan jenazah pada malam Selasa.

"Masa datang sana saya tengok (arwah) dah biru. Tapi saya tak cakap dengan adik yang isteri dia dah tak ada. Takut dia lemah semangat," katanya.

Wanita berkenaan berkongsi kronologi itu menerusi rakaman video yang dimuat naik di akaun Facebook Mr Wan Cai Official, yang menyediakan khidmat pengurusan jenazah.

Tambah si kakak, mereka kemudian segera menghubungi talian kecemasan dalam usaha menyelamatkan ibu dan kandungannya.

"Kami telefon ambulans suruh datang. Mereka buat CPR (bantuan pernafasan) Masa tu baby masih okey tapi mak dia dah tak ada.

Jenazah dikebumikan pada malam Selasa.

"Tapi apabila dah sampai hospital, doktor beritahu baby dia pun meninggal," katanya.

Difahamkan arwah dijadual untuk melahirkan anak sulung pada 23 November depan.

"Due date (tarikh beranak) dah tak lama. Mereka tunggu nak dapat anak pun empat tahun juga. Empat tahun tunggu anak pertama," katanya.

Menerusi rakaman sama, kelihatan suami arwah mendukung dan mengucup bayinya buat kali terakhir.

Arwah Nor Ezaty dan anaknya dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Sireh, Selangor pada pukul 9.40 malam, Selasa.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain