suria

Body shaming: Influencer Eira Aziera kekal bayar ganti rugi RM100,000

Eira Aziera merupakan pempengaruh di media sosial. -Gambar Facebook

PEMPENGARUH, Eira Aziera gagal mengetepikan keputusan mahkamah yang mengarahkannya untuk membayar ganti rugi RM100,000 berhubung kes penghinaan fizikal (body shaming) pada 2020.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Seri Kamaludin Md Said yang bersidang bersama Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S M Komathy Suppiah membuat keputusan berkenaan secara sebulat suara.

Pada Jun 2022, Mahkamah Tinggi memutuskan Eira Aziera memfitnah pesuruhjaya sumpah, Suharnizan Md Sidek dan mengarahkan pempengaruh itu membayar ganti rugi RM100,000 dan kos sebanyak RM30,000.

ARTIKEL BERKAITAN: Body shaming netizen, siap panggil babi... mahkamah arah influencer Eira Aziera bayar RM100,000

Menurut laporan Harian Metro, Ahmad Zaidi berkata, pihaknya bersetuju keputusan Mahkamah Tinggi tidak terkhilaf kerana perkataan diluahkan pihak defendan adalah fitnah dan jelas tanpa memerlukan pakar untuk mengesahkannya.

Katanya, tiada merit dalam rayuan Eira Aziera atau nama sebenarnya Noorazira Pissal, 39, sebagai defendan dan tidak dibuktikan bahawa Mahkamah Tinggi membuat kesilapan.

"Kami dapati jumlah 'award' (ganti rugi diperintahkan) oleh Mahkamah Tinggi adalah munasabah, tidak berlebihan atau tidak kurang. Mahkamah Tinggi sudah mengambil kira mengenai 'body shaming' dan buli siber.

"Rayuan balas (untuk ganti rugi sebanyak RM2 juta) oleh pihak plaintif (Suharnizan) berhubung kuantum itu (RM100,000) tiada meritnya dan ia ditolak, kuantum itu adalah dikekalkan," katanya.

Pada 30 Mei 2022, Pesuruhjaya Kehakiman ketika itu, Datuk Seri Shamsulbahri Ibrahim, memutuskan pembayaran berkenaan selepas perbicaraan penuh dijalankan selama lima hari dari 24 hingga 28 Oktober 2021 secara dalam talian.

Mahkamah Tinggi juga memerintahkan Eira Aziera untuk menyiarkan permohonan maaf tanpa syarat dalam semua akaun media sosialnya dan perlu dikekalkan selama enam bulan dari tarikh penyiaran.

Pada 13 Oktober 2020, Suharnizan memfailkan saman lebih RM2 juta terhadap Eira Aziera di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, atas dakwaan menjadi mangsa penghinaan bentuk fizikal oleh pempengaruh media sosial itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Artikel Lain