SYARIKAT penerbangan tambang murah MYAirline mengumumkan penggantungan operasinya berkuat kuasa hari ini (12 Oktober). Menerusi satu kenyataan, ia menyatakan bahawa tekanan kewangan menjadi punca keputusan sukar itu terpaksa dibuat, selain menunggu penstrukturan semula pemegang saham dan penjanaan semula modal syarikat itu. MYAirline berkata penggantungan tersebut akan berlanjutan sehingga satu tarikh yang akan dimaklumkan kelak. "Kami amat kesal dan memohon maaf kerana terpaksa membuat keputusan ini kerana kami memahami kesannya terhadap penumpang setia kami, pekerja yang berdedikasi dan rakan kongsi. "Kami telah bekerja tanpa jemu untuk meneroka pelbagai pilihan perkongsian dan penjanaan modal untuk mengelakkan penggantungan ini. "Malangnya, kekangan masa menyebabkan kami tiada pilihan selain mengambil keputusan ini," kata Ahli Lembaga Pengarah MYAirline dalam kenyataan tersebut. ARTIKEL BERKAITAN: Sambutan kian menggalakkan! MYAirline dah ‘terbang’ ke Kuching, Kota Kinabalu dan Langkawi... Bakal tambah 3 laluan domestik Tambah kenyataan tersebut, penumpang yang terjejas dinasihatkan supaya tidak ke lapangan terbang, dan perlu mencari alternatif lain untuk ke destinasi mereka. Penumpang boleh menghubungi [email protected] untuk mendapatkan bantuan lanjut. "Lembaga Pengarah, pemegang saham dan semua kakitangan MYAirline akan bekerja tanpa jemu untuk menyambung semula operasi secepat mungkin. "Tetapi pada peringkat ini kami tidak dapat komited pada sebarang garis masa," tambahnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube